Halaman

08 July 2012

Wujud peluang ekonomi kampung

Oleh; Esah Abdullah
Gambar oleh Zulkipli Putra




Anggota masyarakat perlu mengambil inisiatif dan lebih kreatif untuk mewujudkan peluang ekonomi di kampung-kampung untuk menjana pendapatan keluarga.

“Jangan kita warisi cara kerja yang tidak ekonomik dan merugikan”, kata Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said di majlis Penyampaian Hadiah Anugerah Desa Cemerlang (ADC) Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman semalam.

Teks beliau telah dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Haji Abdul Rahin Mohd Said.

Hadir sama, Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Encik Mohd Zubir Abdul Ghani; Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat dan Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) negeri, Puan Nor Hazelina Hashim.

Katanya, kalau ibu bapa kita bekerja sebagai pekebun pisang, biarlah kita menjadi pemborong pisang atau seorang pengusaha kerepek pisang dan jangan tanam ubi dan jual ubi sahaja sebaliknya berusahalah untuk mengeluarkan jus perisa ubi dan produk berasaskan ubi.

Selain itu, masyarakat kampung juga harus bersatu dan menterjemahkan idea bernas untuk meningkatkan sosioekonomi masyarakat serta rebut peluang yang disediakan kerajaan untuk memajukan diri dan keluarga.


Katanya, produk desa kini boleh dipasarkan ke serata pelusuk dunia menggunakan kemudahan internet seperti laman sesawang (web), blog, e-mail dan bahan audio vesual,” katanya.

“Saya harap lebih banyak kampung di negeri ini mampu menghasilkan produk masing-masing yang boleh diketengahkan hingga ke peringkat global,” katanya.

Sementara itu, Kampung Bukit Wan, Batu Rakit yang mewakili daerah Kuala Terengganu di umum sebagai johan dalam pertandingan ADC anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah.

Kampung Pasir Gajah , Kemaman (kedua) dan Kampung Medan Jaya, Marang (ketiga). Tempat pertama menerima RM10,000, RM8,000 (kedua) dan RM6,000 (ketiga) beserta sijil penghargaan.

Kampung Bukit Wan juga turut menenangi tiga aspek yang dipertandingkan iaitu ekonomi, kepimpinan dan keceriaan dan keindahan manakala Pasir Gajah menang aspek teknologi maklumat dan komunikasi dan Medan Jaya menang aspek kebersihan dan kesihatan, kerohanian dan sivik.

Pemenang kategori menerima hadiah wang tunai RM500 setiap satu yang disumbangkan oleh kerajaan negeri.