Halaman

19 July 2012

Wakil rakyat ‘bapa angkat’ setiap acara sukan beri kesan positif

Oleh FAUZI MOHD
Gambar ZULKIPLI PUTRA


Kerajaan negeri akan meneruskan program pelantikan bapa angkat bagi memegang setiap satu acara pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) sebagaimana dilakukan pada Sukma ke-15 Pahang baru-baru ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, pelantikan bapa angkat itu dilakukan dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen dilihat memberikesan yang sangat positif kepada pencapaian cemerlang atlet yang bertanding pada Sukma edisi kali ini.


"Justeru itu, kita sebulat suara akan teruskan program ini untuk edisi Sukma seterusnya," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran kempen Kibar Jalur Gemilang sempena Sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 peringkat negeri di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu semalam.

Pada majlis itu, kontinjen Sukma Terengganu turut diraikan dengan penuh gemilang oleh lebih 5,000 hadirin dan peminat yang membanjiri dataran itu.

Dato’ Seri Ahmad berkata, program perlantikan bapa angkat itu akan dilakukan lebih awal menjelang Sukma ke-16 di Perlis pada 2014 bagi membolehkan mereka bersama membuat perancangan dengan lebih teliti berhubung sasaran kutipan pingat, latihan dan sebagainya.

"Idea pelantikan bapa angkat dalam kalangan wakil rakyat ini hadir menerusi perbincangan bersama dengan pegawai Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) untuk terus meningkatkan kecemerlangan sukan di negeri ini.

"Kita lihat dengan adanya bapa angkat ini, ia telah menunjukkan graf kemajuan yang memberangsangkan walaupun kita melantik mereka (bapa angkat) dalam jangka masa singkat sebelum atlet bertolak ke Pahang pada ketika itu," katanya.


Pelantikan bapa angkat dengan lebih awal itu nanti mampu memberi peluang kepada wakil rakyat untuk turut sama mengalas tanggungjawab bermula daripada sesi pemilihan atlet sehinggalah ke sesi latihan serta meletakkan sasaran pingat dalam acara sukan masing-masing.

"Justeru, kita mahu wakil-wakil rakyat ini nanti turut menggalas cabaran terlibat secara langsung untuk terus memajukan acara sukan yang di pimpin mereka.

"Begitupun kita juga akan terus meningkat pembangunan sukan-sukan lain yang agak ketinggalan seperti akuatik, gimrama, badminton dan sebagainya. Melalui sukan-sukan ini, kita sedikit ketinggalan dari segi kutipan pingat sepanjang Sukma ke-15," katanya.