Halaman

04 July 2012

Usahawan cara MARDI

Oleh; Esah Abdullah

Latihan amali secara secara terus merupakan kaedah sangat berkesan membantu usahawan mencuba sendiri membangunkan formulasi produk masing-masing.

Ketua Pengarah , Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia, Dato’ Dr. Abd Shukur Abd Rahman berkata, melalui latihan amali usahawan diberi tunjuk ajar termasuk belajar mengenai cara penggunaan mesin.

Sehubungan itu katanya, Mardi telah membangunkan sembilan testbed teknologi di seluruh negara yang dilengkapi dengan mesin dan peralatan moden untuk pengeluaran berskala kecil.

“Pusat yang diwujudkan ini dibuka kepada usahawan untuk menjalani latihan sangkut atau kursus teknikal secara percuma,” katanya.

Katanya, setiap testbed mempunyai produk tetentu antaranya seperti snek berasaskan beras seperti rempeyek dan kuih ros (Kedah), minuman, sos dan sapuan (Johor Bharu) dan produk berasaskan ikan seperti keropok lekor sejuk beku, sata, naget dan crispy (Terengganu).

“Produk berasaskan ikan memang menjadi pilihan utama pengunjung ke Terengganu dan melaluinya telah membentuk satu ruang perniagaan yang mampu menjana pendapatan lumayan,” katanya.

Tambahnya, Mardi bersedia merangsang proses inovasi teknologi di kalangan usahawan. mereka boleh berkembang dan menghasilkan produk berdaya saing untuk pasaran yang lebih besar.