Halaman

10 July 2012

UMT sedia kaji kemasukan pelancong ke pulau

Oleh: Suriati Ali

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bersedia mengkaji jumlah kemasukan pelancong dan kuantiti muatan barangan ke pulau-pulau di Terengganu bagi mengelak berlakunya kepupusan khazanah dan hidupan laut.

Timbalan Naib Canselor UMT, Prof Dr Noor Azhar Mohamed Shazili, berkata langkah itu amat wajar kerana hidupan laut seperti batu karang dan penyu kini semakin pupus akibat kelalaian pengusaha chalet dan pelancong.

Katanya, pelbagai faktor boleh menyebabkan aset laut itu mudah rosak, antaranya penggunaan `kaki itik’ (alat renang) serta sisa buangan seperti air sabun dan syampu.

“Pihak kami serius membendung masalah seumpama ini kerana dibimbangi generasi akan datang tidak lagi mengenali apa yang dimaksudkan batu karang, rumpai laut, penyu dan sebagainya.

“Kita akan mencari apakah polisi dan undang-undang yang sesuai supaya sumber asli di sekeliling pulau-pulau tersohor itu sentiasa berada dalam keadaan baik selain tidak mendatangkan kerugian kepada pelbagai pihak,"katanya kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Tahunan Antarabangsa Universiti Malaysia Terengganu (UMTAS) di Kuala Terengganu, semalam.

Lebih 300 pelajar dan ahli akademik termasuk 35 orang dari lapan negara seperti Indonesia, Sri Lanka, Filipina, Vietnam, Libya, Iran, Pakistan, India dan Perancis menyertai simposium yang berlangsung selama tiga hari dan berakhir esok (11 Julai) itu.

Prof Dr Noor Azhar berkata, simposium itu merupakan aktiviti utama untuk dijadikan sebagai platform bagi memajukan bidang sains kelestarian alam semula jadi.
“Simposium ini menjadi satu aktiviti utama bagi UMT kerana kita ingin menjadi platform untuk memajukan bidang sains ataupun kelestarian alam.

“UMT menjadi fokus kepada badan ini dan ia telah mendapat sambutan yang amat baik pada tahun ini. Ia menunjukkan bahawa platform yang kitra sediakan untuk saintis datang membincangkan hal-hal yang berkaitan alam sekitar ,” katanya.

UMT akan bekerjasama dengan Kerajaan Terengganu bagi membantu menyediakan polisi atau menjalankan kajian supaya sentiasa berada dalam kelestarian sumber asli.