Halaman

16 July 2012

Sultan Mizan berangkat ke program pengukuhan Bahasa Inggeris, Bahasa Arab

Oleh FAUZI MOHD

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke majlis penutupan dan pengurniaan hadiah program pengukuhan Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab Piala Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) 2012 di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu.

Mengiringi baginda, Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Said dan Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Mazlan Ngah serta anggota-anggota exco kerajaan negeri.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Prof Emeritus Dato’ Dr. Abdul Rahman Embong dalam ucapannya di majlis itu, semalam berkata tahun ini adalah tahun ketiga program itu diadakan.

Katanya, program termasuk 'Speech Choir' untuk sekolah menengah dan acara 'Smart English' untuk sekolah rendah seluruh negeri Terengganu.

Menurut beliau, pertandingan iitu anjuran bersama YDSM dan Jabatan Pelajaran negeri bermula sejak 12 Julai lalu dan tamat semalam.

“Program itu mula menunjukkan pencapaian penting apabila sebahagian pelajar negeri ini beransur-ansur menunjukkan kejayaan mengatasi beban psikologi dan rasa kekok ketika berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris dengan orang ramai.

"Kejayaan program pengukuhan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar sebelum ini telah memberi ilham bagi pihak kami memulakan program baru iaitu program pengukuhan Bahasa Arab Piala YDSM mulai tahun ini," katanya.

Beliau berkata menerusi program baru itu diharap pelajar-pelajar sekolah agama di negeri ini dapat mempertingkatkan penguasaan bahasa Arab, iaitu bahasa Al-Quran, dan salah satu bahasa penting di dunia kini.

Pada program itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mahmud II, Besut muncul juara bagi kategori Speech Choir, Sekolah Kebangsaan Rantau Petronas, Kemaman pula muncul juara bagi kategori Smart English manakala SMK Agama Sheikh Abdul Malek, juara bagi kategori Kalam Jamaie.