Halaman

08 July 2012

Sukma Pahang : Terengganu akan terus mara



Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Ali Tengah

Terengganu tetap optimis mampu mempertahankan kejuaraan Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 biarpun sedang ketinggalan jumlah kutipan pingat emas berikutan temasya yang baru membuka tirai dengan selesai mempertaruhkan dua acara, karate dan taekwando.

Berada di tangga keempat dengan meraih empat emas yang dituai menerusi taekwando sehingga semalam, bukan kekangan untuk kontinjen yang diketuai Haji Wan Nawawi Wan Ismail untuk memintas tiga pasukan teratas-Selangor, Sarawak dan Pulau Pinang.


Malah, dua acara yang sudah dipertandingkan itu bukan sasaran utama meraih emas. Karate mensasarkan satu emas, sementara taekwando tiga emas. Bagaimanapun, karate gagal mencapai sasaran itu, berbanding taekwando yang berjaya mengatasi sasaran satu emas.

“Ini bermakna, taekwando berjaya menyumbang emas tambahan ..sekali gus mengatasi kehilangan emas yang disasarkan karate,” kata Haji Wan Nawawi.

Selain itu, beliau juga yakin Terengganu Hanelang mampu mengatasi pasukan yang berada di tiga kedudukan utama apabila acara yang menjadi `lubuk emas’ seperti olahraga, lumba basikal, pencak silat dan angkat berat bermula nanti.

Kontinjen Terengganu disertai 536 orang termasuk 400 atlet mensasarkan 47 pingat emas pada Sukma kali ini menerusi 24 acara dengan 19 sukan wajib termasuk renang, angkat berat, berbasikal, bola sepak, badminton, gimnastik, hoki, lawn bowls, taekwondo, karate, perahu layar dan sepak takraw.