Halaman

17 July 2012

Sukma ke-15 : Dato' Seri Ahmad kongsi kejayaan Terengganu

Oleh: FAUZI MOHD
Gambar ZULKIPLI PUTRA




Pembangunan jangka panjang dan perancangan yang teliti menjadi rahsia kejayaan Terengganu dalam Sukan Malaysia (Sukma) sehingga empat kali berturut-turut muncul juara keseluruhan temasya itu.

Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ahmad Said berkata, atlet negeri itu yang bertanding di Sukma bermula pada usia muda dan dijanjikan peluang beraksi di peringkat antarabangsa sekiranya menunjukkan potensi.



"Syukur kerana Terengganu berjaya mempertahankan kejuaraan buat kali keempat walaupun pada awalnya sedikit terkilan kerana acara kanu tidak dipertandingkan.

"Malah, ada atlet kita yang tidak dapat bertanding kerana layak ke Olimpik,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutup Sukma ke-15 di Stadium Darul Makmur, Kuantan Pahang.

Dato' Seri Ahmad turut bangga dengan kontinjen Terengganu kerana berjaya merangkul 62 pingat emas iaitu melepasi sasaran 47 emas sebelum ini.

"Ini adalah hasil usaha kerajaan Terengganu mendapat khidmat jurulatih berkebolehan dari luar negara seperti sepak takraw yang mana kita mendapatkan khidmat jurulatih dari Thailand,” katanya.