Halaman

18 July 2012

Sambutan hari belia di dataran shahbandar

Oleh; Esah Abdullah

Sebanyak 26 acara diadakan sempena sambutan Hari Belia Negara dan Penyampaian Anugerah Belia Negara Peringkat negeri di Dataran Shahbandar jam 3 petang esok (Khamis).

Pengerusi Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT) Mat Yusof Mat Ali berkata, acara sambutan itu mendapat kerjasama daripada pelbagai agensi kerajaan, swasta, pertubuhan dan kelab sukan seluruh negeri.

Katanya, antara aktiviti yang akan diadakan termasuk pameran dan jualan oleh agensi kerajaan dan swasta larian hari belia, demontrasi mini bike, kayuhan santai bersama pemimpin belia, pertandingan futsal, persembahan kebudayaan, pertandingan nasyid, karnival kecergasan, sukan rakyat dan pertandingan memancing.

``Acara kemuncak ialah majlis penyampaian Anugerah Belia Negara peringkat negeri bagi menghargai individu dan pertubuhan yang memberi sumbangan dalam pembangunan belia negeri,’’ katanya.

Menurutnya, tahun ini empat kategori anugerah disediakan yang membabitkan Kategori Kepimpinan Lelaki dan Wanita, Tokoh Belia peringkat negeri, masing-masing menerima wang tunai RM5,000 dan sijil.

Kategori lain ialah Anugerah Perdana Pertubuhan Belia peringkat negeri yang akan menerima wang tunai RM20,000 dan sijil penghargaan.

Sempena dengan majlis itu, turut diadakan penyampaian cek bantuan pentadbiran kepada persatuan-persatuan belia diseluruh negeri. Dianggarkan lebih 300 pertubuhan akan menerima bantuan masing-masing bernilai RM2,000.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said akan merasmikan sambutan Hari Belia dan Penyampaian Anugerah Belia peringkat negeri itu. Lebih 5,000 ahli yang mewakili pelbagai pertubuhan belia di seluruh negeri akan menyertai perhimpunan tersebut.