Halaman

23 July 2012

RM1 juta biayai kaedah bayi tabung uji di HSNZ

Oleh FAUZI MOHD
Gambar ZULKIPLI PUTRA.


Kerajaan negeri menyalurkan peruntukan kira-kira RM1 juta kepada Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) bagi membiayai Teknik Reproduktif Bantuan (Bayi Tabung Uji) termasuk peralatan sejak perkhidmatan itu dilaksanakan sepenuhnya pada November 2009.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr. A. Rahman Mokhtar berkata, perkhidmatan Bayi Tabung Uji itu bertujuan membantu pasangan yang mengalami masalah mendapatkan anak.

Menurutnya, sehingga April lalu, HSNZ berjaya mencatatkan kejayaan apabila seramai 18 pasangan berjaya melahirkan 18 orang bayi manakala dua lagi pasangan melahirkan dua pasang bayi kembar.

Kata beliau, ia merupakan kejayaan yang amat membanggakan bagi kerajaan negeri dan HSNZ sekali gus dapat meningkatkan lagi mutu perkhidmatan setanding dengan negara-negara maju.

Tambahnya, HSNZ adalah antara hospital kerajaan di negara ini selain Hospital Kuala Lumpur, Hospital Alor Setar, Kedah dan Hospital Likas, Sabah yang menyediakan kaedah perubatan tersebut.

"Secara purata, kira-kira 35 peratus pasangan yang mendapat perkhidmatan itu berjaya menimang cahaya mata berbanding sejak awal pelaksanaannya yang hanya 15 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mewakili isteri Menteri Besar, Toh Puan Seri Norliza Mahmud merasmikan Forum Awam, Teknik Reproduktif Bantuan (Bayi Tabung Uji) dan Majlis Meraikan Bayi Tabung Uji di Wisma Darul Iman baru-baru ini.

Hadir sama Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan), Dr. Mohammad Omar.

Lebih 800 peserta menghadiri forum awam anjuran Jabatan Kesihatan negeri dan kerajaan negeri itu yang bertujuan meraikan kejayaan Jabatan Obstetrik dan Ginekologi (O & G) dalam Rawatan Infertiliti serta memberi informasi mengenai peluang kehamilan kepada orang ramai melalui kaedah tersebut.

Pada forum itu, tiga kertas kerja dibentangkan iaitu Meninjau Kemajuan Rawatan Fertiliti-Dulu dan Masa Kini oleh Penyelaras Unit Perkembangan Kesihatan Wanita, Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Prof. Madya Dr. Nik Hazlina Nik Husain dan Bayi Tabung Uji dari Perspektif Islam oleh penceramah bebas, Zulkifli Muda.

Kertas kerja ketiga bertajuk Teknik Bantuan Reproduktif di Terengganu - Kejayaan dan Cabaran dibentangkan oleh Pakar Perunding O & G HSNZ, Dr. Mohd. Zulkifli Mohd. Kasim.