Halaman

14 July 2012

Rakyat boleh nilai sendiri siapa Anwar

Oleh; Esah Abdullah

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said meminta rakyat menilai sendiri kebenaran dakwaan Ketua Pakatan Rakyat (PR), Dato’ Seri Anwar Ibrahim kononnya orang Melayu di Pulau Pinang lebih baik daripada orang Melayu di Kedah dan Terengganu.

“Itu kata dia yang ingin menutup segala kelemahan yang dilakukan di Pulau Pinang serta kepincangan yang sedang berlaku dalam pakatan,” katanya kepada pemberita di Wisma Darul Iman semalam.

Menteri Besar mengulas kenyataan Dato’ Seri Anwar yang keluar dalam pisau.net.blogspot yang berbunyi;

"Kita akui perkara ini kerana tidak ada banyak pilihan memandangkan keadaan fizikal negeri ini, namun saya berharap Ketua Menteri, Lim Guan Eng akan dapat menyelesaikan perkara ini sebaiknya.

"Namun, secara perbandingannya, nasib orang Melayu di Pulau Pinang adalah lebih baik berbanding orang Melayu di Kedah dan Terengganu. Jangan bandingkan orang Melayu di sini dengan orang Cina," katanya.

Menteri Besar berkata, Anwar melalui kenyataan itu cuba menggambarkan beliau hebat sedangkan rakyat tahu kenyataan itu merupakan cakap politik saja.

Beliau berkata, Kerajaan Terengganu pernah menghulurkan bantuan atap rumah kepada satu keluarga miskin di kawasan Permatang Pauh dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen itu tidak lama dulu.

“Saya lebih terkejut melihat jalan yang berselut serta banyak rumah yang daif di di kawasan seorang bekas Menteri kewangan tidak lama dulu yang sepatutnya perkara ini tidak berlaku sebab ini kawasan bekas Menteri Kewangan,” katanya.

Katanya, di Terengganu apa yang kerajaan negeri tidak beri kepada rakyat e-Book, bantuan pelajaran, agih tanah, dana raya, dana remaja dan banyak lagi.

“Jangan cuba tipu rakyat dengan pembohongan yang tidak berkesudahan seperti juga Pas yang tidak boleh membohongi sejarah bila rakyat beri mandat kepada parti itu pada 1999-2004, apa yang mereka buat untuk rakyat,” katanya.