Halaman

28 July 2012

Program Ihya' Ramadan semarak Ramadan kalangan saudara kita

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar ZULKIPLI PUTRA
Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menganjurkan beberapa program Ihya’ Ramadan bagi memastikan 2,100 saudara kita dan masyarakat Orang Asli di seluruh Terengganu dapat meningkatkan penghayatan dan amal ibadat sepanjang Ramadan tahun ini.

Yang Dipertua Maidam, Dato’ Senara Muda, Dato’ Mazlan Hashim, berkata antara program berkenaan seperti Kem Ramadan Saudara Kita Negeri Terengganu, Kem Ramadan Masyarakat Orang Asli Negeri Terengganu, Ziarah Dakwah, Majlis Berbuka Puasa dan Agihan Zakat Aidil Fitri.

“Majlis berbuka puasa dan agihan zakat turut diadakan di Kampung Orang Asli Sungai Sayap, Hulu Besut, di Sungai Pergam (Kemaman) dan Sungai Berua, Hulu Terengganu.

“Program yang diadakan setiap tahun turut mendapat kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia bagi menyemarakkan sambutan bulan yang penuh keistimewaan dan rahmat itu supaya turut sama dimanfaatkan oleh saudara kita yang baru memeluk Islam ini,” katanya.

Dato’ Senara Muda berkata, Maidam turut mengagihkan zakat fitrah dalam program berbuka puasa yang dianjurkan di setiap perkampungan Orang Asli bagi memudahkan bantuan berkenaan disalurkan kepada golongan itu.

Beliau berkata, selain program Ihya’ Ramadan, Maidam turut menganjurkan pelbagai kursus agama yang lazim dilakukan dua kali seminggu di Kompleks Darul Hidayah, Jalan Sultan Omar, Kuala Terengganu.

Katanya, elaun khas disediakan kepada peserta berikutan mereka meninggalkan pekerjaan masing-masing sepanjang mengikuti kursus yang disediakan Maidam itu.