Halaman

29 July 2012

Peruntukan RM168j ubah wajah Taman Rekreasi Waterfront

Oleh: Aida Abd Rahman
Taman Rekreasi Waterfront, Pulau Kambing bakal berubah wajah dan mampu menggamit lebih ramai pengunjung dalam dan luar Terengganu tidak lama lagi apabila kerja menaik taraf lokasi pelancongan yang menelan belanja kira-kira RM168 juta bakal dilaksanakan bermula tahun depan.

Kerja mereka bentuk, membina dan menyiapkan infrastruktur di pusat tumpuan pelawat di pinggir Sungai Terengganu itu termasuk dalam projek pembangunan pelancongan negeri Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said, berkata komponen yang terlibat dalam projek berkenaan seperti kerja menambak kawasan seluas 6.2 hektar dan pembinaan 535 lot parkir kenderaan kepada pengunjung.

“Kerja-kerja lain yang akan dibangunkan di kawasan itu termasuk membina sebuah jeti berukuran 25 meter x 100 meter untuk ke Pulau Redang,dua jeti terapung, lima unit wakaf, satu kilometer (km) laluan pejalan kaki dengan tiga meter lebar (kiri jalan) dan satu km laluan pejalan kaki dengan dua meter (kanan jalan).

“Turut dilaksanakan kerja membangunkan kawasan landskap seluas satu km dengandua meter lebar (kiri jalan) dan satu km trek jogging dengan tiga meter lebar (kiri jalan),” katanya.

Beliau berkata, dua projek lain yang akan dibangunkan menerusi projek pembangunan pelancongan negeri pada tahun depan ialah menaik taraf Jeti Pelancongan Pulau Redang, dan membangunkan bekalan elektrik ke Pulau Perhentian Kecil, Besut.

Katanya, kedua-dua projek masing-masing membabitkan kos RM2 juta dilaksanakan Jabatan Kerja Raya dan RM32 juta menerusi Tenaga Nasional Berhad.

“Kerja-kerja di Jeti Pelancongan Pulau Redang termasuk mengganti baru `handrail’, menyiapkan struktur jeti dan menaik taraf tempat duduk. Manakala di Pulau Perhentian Kecil pula melibatkan kerja kabel dan `substation’ TNB,” katanya.