Halaman

30 July 2012

Peneroka Felda dapat ‘bonus’ raya tambahan

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Selepas menerima ‘durian runtuh’ berjumlah RM10,000 bagi setiap keluarga baru-baru ini, peneroka Felda bakal menerima ganjaran ‘bonus’ raya pula, bagi menambah kegirangan mereka menyambut Aidilfitri tahun ini.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak, mengumumkan pemberian wang Hari Raya Aidilfitri berjumlah RM43.2 juta kepada semua peneroka Felda di seluruh negara.



Pemberian tersebut sebagai menghargai sumbangan peneroka kepada pembangunan Felda serta membantu mereka membuat persiapan awal bagi menghadapi hari lebaran tidak lama lagi.

Seramai 103,597 peneroka atau 91.9 peratus daripada keseluruhan warga Felda yang masih setia bersama organisasi itu akan menerima RM400 seorang melibatkan peruntukan sebanyak RM41.4 juta.

Manakala sejumlah 9,038 peneroka lagi atau 8.02 peratus yang sudah tidak bersama Felda masih diberi habuan tersebut dengan jumlah RM200 seorang.

Begitu mewah nikmat yang ditabur kerajaan kepada golongan peneroka di negara ini, termasuk di Terengganu di mana mereka sebelum ini diberi RM10,000 tunai bagi setiap keluarga peneroka (suami RM5,000 dan isteri RM5,000) hasil penyenaraian Felda di Bursa Malaysia.

Kini mereka diberi pula bonus Hari Raya Aidilfitri yang diberi Kerajaan Pusat kepada golongan peneroka sejak 2003 bagi meringankan beban golongan tersebut membuat persiapan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.

“Semua janji kita tunaikan...Walaupun Felda dah disenarai, bantuan yang sebelum ini kita beri, kita teruskan. Jadi duit raya tetap kita beri kepada peneroka,” katanya.