Halaman

31 July 2012

Pelajar hargai sumbangan kerajaan

Oleh: Suriati Ali



“Jumlah RM1,000 ini sangat dihargai dan cukup banyak bagi kami yang masih bergelar pelajar sekolah.

“Jika tiada bantuan seumpama ini, agak sukar bagi saya untuk membeli buku rujukan dan alat tulis kerana pendapatan bapa sebagai pekerja kilang agak terhad.

“Wang saku yang diberi bapa hanya cukup untuk beli makanan di kantin sekolah dan alat tulis yang asas saja,” kata pelajar Tingkatan Enam Atas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Bariah, Kuala Terengganu, Lim Chee Kiat, 19.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Teganukita selepas Majlis Penyampaian Bantuan Pendidikan Yayasan Terengganu kepada Pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2012 di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Seramai 2,150 pelajar Tingkatan Enam (Atas) pelbagai sekolah seluruh Terengganu hadir menerima sumbangan RM1,000 seorang yang disampaikan Dato’ Seri Haji Ahmad.

Berdasarkan jumlah pelajar itu, kerajaan negeri melalui YT membelanjakan lebih RM2.1 juta bertujuan mahu melihat pencapaian cemerlang yang diperoleh setiap pelajar dapat peperiksaan utama itu nanti.

Pelajar dari Kampung Bukit Kecil, Kuala Terengganu, Ng Yong Ping, 19, berkata dia cukup menghargai duit yang disampaikan Menteri Besar ini kerana boleh membeli buku rujukan.

“Sebelum ini, dia hanya meminjam buku daripada rakan sekolah untuk dibuat salinan kerana tidak mampu untuk membelinya berikutan agak mahal iaitu antara RM50 hingga RM100 sebuah,” katanya.

Seorang lagi pelajar berbangsa Cina, Teo Siew Mei, 19, berkata dia cukup gembira kerana turut terpilih untuk menerima duit bantuan belajar yang sememangnya banyak membantu dalam semua perkara.

Katanya, pemberian yang cukup berharga ini terus memberi semangat baginya untuk memperoleh markah cemerlang dalam peperiksaan yang bakal ditempuh nanti.

“Kerajaan Terengganu sememangnya cakna dan prihatin terhadap pelajar, negeri lain tidak sanggup mengeluarkan belanja jutaan ringgit setahun untuk pendidikan,” katanya.

Pelajar SMK Sultan Ismail, Fazliaty Fhadzil, 19, yang tidak menerima biasiswa daripada mana-mana pihak, sangat menanti dan menghargai pemberian bantuan belajar seumpama itu.

Katanya, perbelanjaan untuk membeli perkakas sekolah dan buku rujukan agak mahal, itulah antara faktor mengapa dia dan rakan pelajar tingkatan enam lain sangat mengharapkannya..

“Jika minta duit daripada ibu atau bapa untuk membeli buku rujukan yang sememangnya mahal, terbit rasa kasihan kerana mengetahui mereka tidak mampu untuk berbuat demikian,” katanya.