Halaman

21 July 2012

Pas derhaka titah sultan

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Pemimpin dan penyokong Pas tidak menghormati titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang mahukan isu dua solat Jumaat dalam satu mukim dihentikan dengan segera kerana ia memecah-belah umat Islam di negeri ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Agama negeri, YB Ustaz Haji Muhammad Ramli Nuh, berkata pemimpin dan ahli Pas yang bertanggungjawab memulakan perkara itu dan mereka sepatutnya yang menghentikan kegiatan tersebut.

“Selagi ahli Pas sembahyang Jumaat di tempat berasingan daripada yang ditetapkan oleh pihak berkuasa, selagi itu isu ini tidak boleh selesai.

“Manakala pemimpin Pas pula tidak melarang ahli-ahli Pas dan penyokong mereka solat Jumaat di tempat yang tidak diwartakan oleh pihak berkuasa, jadi kegiatan ini terus berlaku di negeri ini,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas titah Sultan Mizan sebelum ini supaya kegiatan dua solat Jumaat dalam satu mukim dihentikan bagi menyatupadukan umat Islam yang berpecah akibat isu tersebut.

Secara tidak langsung, kata YB Ustaz Haji Muhammad Ramli pemimpin dan penyokong Pas derhaka kepada Tuanku Sultan Mizan kerana tidak mengambil berat teguran baginda.