Halaman

30 July 2012

Pakatan Rakyat gusar slogan ‘Janji Ditepati’

Oleh FAUZI MOHD

Reaksi Pakatan Rakyat (PR) yang memberi tempoh masa seminggu kepada kerajaan supaya menukar tema Hari Merdeka telah menyerlahkan lagi kegusaran pembangkang terhadap slogan Janji Ditepati

Bukan satu kesalahan untuk menggunakan slogan ‘Janji Ditepati’ sebagai tema sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 kerana ia sememangnya mencerminkan komitmen kerajaan menunaikan janji-janjinya.

“55 Tahun Merdeka Janji Ditepati,”dipilih sebagai tema hari kemerdekaan tahun ini.

Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak dengan gagasan 1Malaysia umpamanya telah menunaikan janji-janjinya melalui proses transformasi seperti Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).

Pemilihan tema Hari Kebangsaan merupakan hak kerajaan memerintah berdasarkan keperluan semasa tanpa sikap prejudis kepada mana-mana pihak

“Menepati janji adalah satu nilai universal yang amat murni dan apabila kita sebut janji ditepati, ia memberi satu motivasi kepada rakyat untuk menepati apa saja janji yang diikrarkan.

“Sebagai satu nilai universal, apa yang diputuskan itu mencakupi semua aspek kehidupan, kecuali ia disempitkan dengan mencari makna daripada sudut politik,” kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Ahmad Maslan baru-baru ini.

‘Faktor Janji Yang Tidak Ditepati’ merupakan faktor utama yang menyebabkan kemerosotan populariti Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sejak Oktober 2008 hingga sekarang.

Rumusan itu dibuat berdasarkan kajian Prof Datuk Syed Arabi Idid daripada Jabatan Pengajian Komunikasi Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) terhadap populariti lima pemimpin politik negara.

Kajian itu mendapati bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terus kekal popular walaupun berundur pada 2003 diikuti pula dengan peningkatan populariti Perdana Menteri sekarang, Dato’ Seri Najib.

Manakala, Menteri Besar Kelantan Dato’ Nik Aziz Nik Mat dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, didapati populariti mereka merosot.

Malah, kajian itu menemui satu penemuan yang mengejutkan apabila populariti Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Anwar Ibrahim jatuh menjunam bermula Oktober 2008.

Populariti Anwar berada di tempat tercorot berbanding dengan Nik Aziz dan Guan Eng.