Halaman

26 July 2012

Maidam sedia RM350,000 zakat untuk saudara kita, Orang Asli

Oleh: Aida And Rahman
Gambar ZULKIPLI PUTRA




Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) memperuntukkan RM350,000 wang zakat untuk diagihkan kepada 950 saudara kita dan masyarakat Orang Asli di seluruh Terengganu sempena Ramadan tahun ini.

Peruntukan itu termasuk bagi menyediakan cendera hati berupa biskut raya selain meraikan lebih sebahagian daripada mereka di majlis berbuka puasa di Hotel Primula Beach Resort, Kuala Terengganu, petang semalam.

Yang Dipertua Maidam, Dato’ Senara Muda, Dato’ Mazlan Hashim, berkata setiap saudara kita menerima RM350 seorang bagi mereka yang memiliki tanggungan tidak lebih dari tiga orang, manakala RM450 kepada penerima yang mempunyai tanggungan empat orang atau lebih.


“Istimewanya pada tahun ini, selain saudara kita dan Orang Asli, Maidam juga menjemput wakil dari bangsa lain, Cina dan India yang bukan beragama Islam bagi mengeratkan lagi silaturahim sesama kita.

“Malah, sambutan amat baik apabila semua jemputan datang dari semua daerah dan pada zahir tetamu yang hadir kelihatan lebih ceria pada kali ini berbanding tahun sebelumnya,” katanya beliau selepas majlis Berbuka Puasa dan Agihan Zakat Aidil Fitri Saudara Kita Negeri Terengganu Tahun 1433/2012, semalam.

Turut hadir, Pengerusi jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Haji Khazan Che Mat; Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Haji Wan Harujan Sulaiman dan Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Haji Mohd Rozali Salleh.

Dato’ Senara Muda berkata, majlis berbuka puasa kali ini agak meriah dengan penyertaan terbesar yang melibatkan 490 saudara kita dan masyarakat Orang Asli yang terbesar pernah diadakan.

“Tahun ini juga berbeza sedikit kerana diadakan di Hotel Primula berbanding tahun-tahun sebelum ini dijalankan di Kompleks Darul Hidayah, Maidam (Pusat Bimbingan Saudara Kita)di Jalan Sultan Omar, Kuala Terengganu,” katanya.