Halaman

26 July 2012

Khazanah tokoh falak Terengganu di Arkib Negara

Oleh FAUZI MOHD

Arkib Negara Malaysia Cawangan Terengganu memperoleh khazanah bernilai berkaitan bidang falak syarie hasil peninggalan tokoh falak tersohor negeri Abdul Ghani Salleh.

Pengarahnya, Mohd. Nasir Ismail berkata, khazanah yang sangat bernilai itu disumbangkan oleh waris Allahyarham di rumah bekas kediamannya di Jalan Bakti, Kuala Terengganu baru-baru ini.

"Kita merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada keluarga Allahyarham kerana mengambil langkah awal menyerahkan koleksi tersebut kepada Arkib setelah mendapati ada petanda yang sebahagian daripada dokumen tersebut mula rosak.

"Ini merupakan tindakan yang tepat kerana Arkib Negara sememangnya mempunyai kepakaran dalam pemuliharaan dan penyimpanan bahan bernilai sejarah atau kebangsaan yang berada di bawah jagaannya," katanya semalam.

Mohd. Nasir berkata, ketika ini arkib itu sedang memproses bahan-bahan tersebut termasuk menjalankan kerja-kerja fumigasi, membersih, menyenarai dan mengotak untuk simpanan kekal.