Halaman

26 July 2012

Kakitangan awam jadi contoh kibar Jalur Gemilang – MB

Oleh FAUZI MOHD

Kakitangan awam di negeri ini diminta supaya mengibarkan Jalur Gemilang di rumah atau kenderaan masing-masing sempena sambutan bulan kemerdekaan ini bagi memberi contoh yang baik kepada masyarakat.



Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, tahap kesedaran rakyat di negara ini termasuk Terengganu untuk mengibarkan Jalur Gemilang pada sambutan bulan kemerdekaan masih lagi rendah.

Beliau berkata, untuk memupuk kesedaran rakyat supaya mengibarkan bendera, kerajaan Pusat telah melancarkan kempen tersebut dan ia juga akan dilaksanakan di negeri ini sehingga 18 September depan.

"Kita adakan pelbagai program untuk memberi kesedaran kepada masyarakat supaya kibarkan Jalur Gemilang dan berasa bangga dengan kemerdekaan negara ke-55,” katanya.



Beliau berkata demikian pada majlis berbuka puasa bersama warga Batalion 18 RAMD di Kem Seri Pantai, Seberang Takir, Kuala Terengganu semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd Rahman; Pegawai Memerintah Kem tersebut, Lt. Kol. Nasharuddin Mohamad serta isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud.

Pada majlis itu, Dato’ Seri Ahmad turut menyalurkan peruntukkan kerajaan negeri berjumlah RM1 juta untuk membina dewan baru di kem itu serta sumbangan RM10,000 untuk penganjuran aktiviti di kem berkenaan.

Sejurus selepas itu, Menteri Besar bersolat Isyak dan Terawih di Masjid Seberang Takir bersama kariah kampung berkenaan.