Halaman

09 July 2012

JR jalan tugas pemutihan

Oleh; Esah Abdullah

Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Dato’ Seri Shahrizat Abdul Jalil melahirkan rasa bangga kerana mempunyai barisan jentera Wanita yang setia terhadap parti yang memerintah negara.

Katanya, sokongan padu yang ditunjukkan Wanita Umno dan MIC, MCA dan Gerakan memberi semangat kepadanya untuk terus pertahankan kepentingan parti demi agama, bangsa dan negara.

“Usaha mereka (pembangkang) yang cuba memutarbelitkan isu Perbadanan Fidlot Nasional (NFCorp) untuk mengheret saya ke dalam kontroversi ternyata sia-sia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir di Program Pemantapan Jentera Jalinan Rakyat (JR) Pergerakan Wanita UMNO Perhubungan Terengganu di Taman Tamadun Islam (TTI) Kuala Terengganu.

Hadir sama, Setiausahanya, Dato’ Rosni Sohar; Ketua Penerangan Dato’ hamidah Othman dan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Perhubungan Terengganu, Datuk Hajah Fatimah Hamat.

“Saya bersyukur kerana masih diberi kepercayaan dan mendapat sokongan padu daripada Wanita Umno dan akan terus memperjuangkan kepentingan parti,” katanya.

Dalam pada itu, Dato’ Seri Shahrizat mengingatkan JR sentiasa memantau dakyah pembangkang yang cuba mengelirukan rakyat terutama di kampung-kampung.

“JR telah menjalankan tanggung jawabnya dengan ikhlas dan jujur demi memenangkan parti dan usaha pemutihan diteruskan sehingga tarikh pilihanraya diumumkan,” katanya

Beliau kemudiannya menerima senarai nama JR daripada Datuk Hajah Fatimah disaksikan kira-kira 1,200 JR seluruh negeri.