Halaman

10 July 2012

JPNT kenalpasti 70 murid Tahun Tiga alami literasi numerasi

Oleh: Aida Abd Rahman
Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) mengenalpasti seramai 70 murid Tahun Tiga di negeri ini berdepan masalah pembelajaran atau literasi numerasi (Linus Tegar).

Malah, sejumlah 38 daripada mereka gagal dalam ujian Linus Saringan Enam, manakala selebihnya masih belum menjalani ujian oleh JPNT dan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu.

Ketua Sektor Pendidikan Swasta dan Pendidikan Khas JPNT, Haji Ngah Bidin berkata kesemua murid yang gagal itu dikenalpasti mempunyai ciri-ciri murid berkeperluan khas sekali gus bakal ditempatkan di kelas khas pemulihan.

Menurutnya, jumlah 70 orang itu bukan jumlah yang besar jika dilihat pada jumlah keseluruhan murid Tahun Tiga di negeri ini yang mencapai kira-kira 25,000.

“Pihak JPNT dengan kerjasama sekolah masing-masing akan berusaha memulihkan semua pelajar berkenaan supaya mampu pulih dan mengikuti pembelajaran seperti murid normal yang lain .

"Ianya sejajar dengan sasaran yang kita buat iaitu menjelang tahun 2013 nanti, Terengganu akan mencapai status sifar 'linus tegar' sejajar dengan NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara) yang ditetapkan oleh pihak kementerian," katanya.