Halaman

31 July 2012

Harapan dua anak Terengganu lebur di Olimpik

Oleh: Aida Abd Rahman
Dua ayam tambatan negara dalam acara basikal lebuh raya, Muhamad Adiq Husainie Othman dan Amir Mustafa Rusli menyifatkan punca kegagalan mereka dalam acara itu Sabtu lalu akibat masalah taktikal dan bukannya kurang ketahanan mental dan fizikal.

Kedua-dua anak jati Terengganu itu berkata, ketika pasukan lain layak secara merit ke Olimpik dengan lima pelumba bagi setiap negara, Malaysia pula hanya mewakili ke temasya itu mengikut kouta bagi negara dan dihadkan kepada dua pelumba sahaja.

"Daripada segi taktikal, sukar bagi kami berdua untuk merancang strategi berbanding jika mempunyai sokongan secukupnya seperti mempunyai tiga lagi pelumba sepasukan," kata mereka.

Pada perlumbaan sejauh 250km itu, Muhamad Adiq Husainie dan Amir Mustafa diarahkan berhenti oleh komisar kerana ketinggalan 18 minit di belakang pendahulu ketika perlumbaan berbaki 50km lagi.

Mungkin silap kami kerana agak leka ketika di kawasan berbukit, kata Muhamad Adiq yang akan berlepas ke Amerika Syarikat esok bagi menyertai Perlumbaan Utah.

Adeq, 21, yang menyertai kelab Champion System berpangkalan di Belgium, berkata sejak Januari lalu, beliau banyak menyertai sirkit di sekitar Eropah dan Amerika Syarikat sebagai persediaan ke Olimpik London.

"Walaupun jarak perlumbaan sirkit tersebut di antara 120km hingga 180km sahaja berbanding 250km pada sukan Olimpik, ia bukan masalah.

“Masalahnya kerana kami hanya berdua di London dan tidak dapat merancang strategi seperti pasukan yang mempunyai lima pelumba," katanya.

Sementara Amir Mustafa, 25, dari kelab Drapac Professional Cycling yang berpangkalan di Australia akan kembali ke Malaysia dahulu untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri sebelum menyertai kelabnya kembali.

"Mujur jurulatih John Beasley kata, kami muda lagi dan perlukan lebih pengalaman bila bersaing di Olimpik," katanya yang berlatih di Belgium selama tiga bulan sebelum ke temasya terbesar dunia ini.