Halaman

13 July 2012

Dato’ Seri Ahmad, Sahol Hamid contoh terbaik ‘anak miskin jadi orang berjaya’ – Perdana Menteri

Oleh FAUZI MOHD dan HAZWAN ROSLEE
Gambar ZULKIPLI PUTRA


Kemiskinan bukan alasan seseorang tidak boleh dididik untuk berjaya kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) menyediakan peluang untuk mobiliti sosial, terutamanya menerusi pendidikan.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak berkata, penguasaan bidang pendidikan telah membuktikan bahawa ia senjata utama untuk memerangi kemiskinan.

Beliau berkata, ramai personaliti yang berjaya pada hari ini berasal dari latar belakang keluarga miskin seperti contoh Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said dan Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dato’ Prof. Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar.

“Kita ada dua contoh. Pertama, MB (Menteri Besar) sebut dia anak tok nyadat, tapi akhirnya boleh menjadi MB, walaupun jalanya berliku-liku tapi boleh menjadi MB.

“Kedua, Prof. Sahol Hamid, mak jual kuih manakala anak pula jual botol air, akhirnya menjadi Naib Canselor UiTM,” kata beliau dalam ucapannya di majlis Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB) UiTM di Arena Square, Dungun hari ini.

Tambah Dato’ Seri Najib, kejayaan dua tokoh itu merupakan lambang kesungguhan kerajaan BN melakukan perubahan atau transformasi secara menyeluruh melalui pendidikan.

“Kita mahu lebih ramai lagi contoh seperti ini, kita perjuangkan secara menyeluruh. Kalau tak ada peluang yang disediakan oleh kerajaan, berbekalkan keinginan saja tidak cukup.

“Inilah perjuangan yang dibawa Barisan Nasional,” kata Perdana Menteri disambut tepukan gemuruh lebih 30,000 hadirin termasuk kira-kira 20,000 penuntut UiTM dari seluruh semenanjung.