Halaman

02 July 2012

Dato’ Rosnah rasmi mesyuarat Perwakilan Puteri Kuala Terengganu

Oleh; Esah Abdullah

Timbalan Menteri Kesihatan merangkap Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Dato’ Rosnah Abdul Rashid Shirlin akan merasmikan Mesyuarat Perwakilan Puteri UMNO Bahagian Kuala Terengganu bertempat di Dewan Tunku Abd. Rahman Kuala Terengganu Jumaat ini (6 Julai).

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Perhubungan Terengganu merangkap Ketua Penerangan Puteri UMNO Malaysia, Puan Nordiana Dato’ Shafie berkata, kira-kira 800 perwakilan daripada 72 cawangan akan hadir ke mesyuarat itu.

“Mesyuarat perwakilan berlangsung sebelah pagi manakala petangnya, Dato’ Rosnah akan berkunjung ke rumah ahli Puteri yang uzur di bawah Program Puteri Perihatin,” katanya.

Menurutnya, beberapa buah rumah akan dikunjungi termasuklah rumah bekas ahli jawatankuasa Puteri Bahagian Kuala Terengganu, Puan Hartini Maridun di Taman Permint Jaya, Chendering yang mengidap penyakit saraf dan Ketua Puteri Cawangan Gong Tok Nasek, Puan Hanifah Sidek yang mengidap kanser payu dara.

Sementara itu, perasmian mesyuarat Perwakilan Puteri UMNO Bahagian Kemaman akan diadakan serentak dengan Pergerakan Wanita dan Pemuda pada 14 Julai bertempat di Dewan Berlian, Kemaman oleh Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia Dato’ Seri Shahrizat Abdul Jalil.