Halaman

13 July 2012

10,000 warga Marang menjamu selera bersama PM

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Kira-kira 10,000 warga Marang menjamu selera bersama-sama Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak pada Majlis Jamuan Rakyat di Dataran Bukit Payong, petang ini.



Hadir sama Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Ketua Umno Bahagian Marang, Dato’ Yahya Khatib Mohamad; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, ketua-ketua jabatan agensi kerajaan negeri dan Persekutuan serta pemimpin masyarakat.

Sebelum itu, Perdana Menteri yang dalam lawatan kerja sehari ke Terengganu menaiki helikopter dari Dungun dan tiba di Bukit Payong, kira-kira jam 1 tengahari.



Beliau dan rombongan kemudiannya menunaikan solat Jumaat di Masjid Pekan Bukit Payong, bersama-sama jemaah tempatan.

Dato’ Yahya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, membaca khutbah Jumaat di masjid tersebut.

Manakala Imam Besar Masjid Negeri, Ustaz Haji Aizi Saidi Abdul Aziz, menjadi imam solat Jumaat.

Sebaik saja selesai solat Jumaat, orang ramai mengambil kesempatan untuk bersalam dengan Perdana Menteri, sebelum beliau bergegas ke Dataran Bukit Payong untuk menghadiri Majlis Jamuan Rakyat.

Selesai menjamu selera, Dato’ Sri Mohd Najib bertolak ke Stadium tertutup Gong Badak bagi menghadiri satu lagi majlis iaitu Program Bersama Anggota Rela.