Halaman

07 June 2012

Terengganu sumbang RM100,000 untuk Adam

Oleh: Suriati Ali

Keprihatinan Kerajaan Terengganu menyumbangkan RM100,000 kepada Adam Akhbar Ali, 10, yang menghidap penyakit tumor saraf tunjang membuka mata banyak pihak.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapat persetujuan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi membolehkan Adam mendapatkan rawatan di Hospital John Hopkins, Amerika Syarikat dengan kadar yang segera.

Menurutnya, sumbangan RM100,000 itu adalah peruntukan Tabung Penyakit Kronik yang menyalurkan bantuan kepada individu yang layak bagi kes-kes penyakit kronik.

“Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Datuk Yahya Khatib Mohamad akan menghantar cek seberapa segera dalam tempoh terdekat, mungkin dalam masa tempoh dua atau tiga hari lagi.

“Saya harapkan sumbangan ini akan membolehkannya mendapatkan rawatan. Mudah-mudahan Adam akan sembuh dengan segera dan kembali ceria semula,” katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Darul Iman, Kuala Terenggani, semalam.

Dalam akhbar Sinar Harian sebelum ini melaporkan Tabung Adik Adam ditubuhkan membolehkannya mengumpul wang bagi menampung kos rawatan yang diperlukan.

Adam yang menghidap penyakit tumor saraf tunjang, kini bergantung dengan ubat tahan sakit kerana mengalami sakit kepala berpanjangan, kesan
daripada penyakit yang dialaminya itu.