Halaman

20 June 2012

Terengganu buru 47 emas Sukma

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri membuat sasaran baru iaitu 47 pingat emas bagi pungutan pingat dalam Sukan Malaysia Ke-15 (Sukma) yang akan berlangsung di Pahang pada bulan depan.



Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, sasaran sebelum ini ialah 58 pingat emas daripada 377 pingat yang dipertandingkan.

“Kita kehilangan sembilan pingat emas kerana atlet Sukma yang layak telah pergi ke Sukan Olimpik,” katanya kepada pemberita di Majlis Pelantikan Rasmi Ketua Kontijen Terengganu Sukma XV Pahang 2012 di Wisma Darul Iman hari ini (20 Jun).

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Haji Abdul Rahin Mohd Said; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan YB Haji Rozi Mamat; Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Haji Zainal Abidin Husein dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu merangkap Ketua Kontijen Sukma Haji Wan Nawawi Wan Ismail.

Katanya, peraturan baru juga tidak membenarkan mereka bertanding dalam Sukma walaupun dari segi umur mereka masih layak bertanding.

Sehubungan itu katanya, tiga atlet yang tidak dapat menyertai Sukma nanti ialah Khairul Anuar Mohamad dan Nurul Syafiqah Hashim dalam acara sukan memanah dan Adiq Hussainie Othman acara berbasikal yang menyumbangkan masing-masing tiga pingat emas dalam Sukma di Melaka.

Katanya, Terengganu menyertai 24 jenis sukan dan 19 sukan wajib ialah renang, angkat berat, berbasikal, bola sepak, badminton, gimnastik, hoki, lawn bowls, taekwondo, karate, perahu layar, dan sepak takraw.Manakala lima sukan bukan pilihan ialah bola tampar, ekuestrian, petanque, tinju dan golf.

Kontijen Terengganu disertai seramai 536 orang termasuk 400 atlet manakala selebihnya terdiri dari pegawai, pengurus dan jurulatih.

“Kita fokuskan kepada sukan berbasikal dan angkat berat yang akan mendominasikan pingat emas untuk kontijen dan sukan lain seperti perahu layar, taekwondo dan tinju dijangka akan memberi tambahan pingat emas,” katanya.

Menteri Besar berharap kita terus mampu kekal juara dan menawarkan insentif kepada atlet yang berjaya memungut pungat emas (RM5,000) perak (RM3,000) dan gangsa (RM2,000).



Beliau kemudiannya menyerahkan watikah pelantikan ketua Kontijen Sukma kepada Haji Wan Nawawi serta turut mengumumkan pelantikan bapa angkat kepada 23 jenis sukan yang disertai terdiri daripada Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undan Negeri.