Halaman

19 June 2012

Tarian Saba meriahkan Sepakat K1M Dungun

Persembahan Tarian Saba dari Komuniti 1Malaysia Jengai menyerikan program Sepakat Komuniti 1Malaysia (K1M) peringkat daerah Dungun yang diadakan di Padang Astaka, Kampung Seberang Pintasan, Dungun pada 15 dan 16 Jun 2012.

Alunan lagu serta lenggok Trian Saba memukau hampir 2,000 pengunjung yang membanjiri Padang Astaka itu.

Selain persembahan tarian itu, persembahan brass band yang dipersembahkan oleh pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dungun turut memeriahkan program tersebut.

Program Sepakat Komuniti 1Malaysia peringkat daerah Dungun anjuran Jabatan Penerangan Negeri Terengganu (JPNT), merupakan program keenam diadakan selepas Besut, Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu dan Kemaman.

Pelbagai acara menarik bermula tayangan video Bersih 3.0 Yang Kotor pada sebelah malam 15 Jun 2012.

Manakala keesokannya program bermula dengan senam seni 1Malaysia diikuti sukan rakyat yang disertai kesemua wakil daripada lapan K1M seluruh Dungun.

Selain sukan rakyat, turut diadakan ialah pertandingan bola jaring, futsal padang, pameran kereta Perodua Kancil yang diubahsuai, demonstrasi memadam kebakaran oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat, pertunjukan sepak raga bulatan, pertandingan gubahan buah-buahan, pameran agensi kerajaan dan gerai jualan produk K1M. Turut diadakan cabutan nama bertuah yang menyajikan lebih 200 hadiah seperti basikal fixie dan hamper.

Pada program itu, K1M Jerangau 2 diumumkan sebagai K1M terbaik daerah Dungun.

Ahli Majlis Kerajaan Negeri Terengganu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau Abang, YB Dato’ Haji Za’abar Mohd Adib merasmikan majlis penutup serta menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Turut hadir ialah Penolong Pengarah JPNT, Encik Mohd Iskandar Jaafar dan Pegawai Penerangan Daerah Dungun, Encik Che Mat Roplan Salim.