Halaman

06 June 2012

Taklimat melicinkan proses PRU13

Oleh: Aida Abd Rahman

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menekankan program taklimat kepada petugas pilihan raya khususnya pegawai pengurus, penolong pegawai pengurus, pasukan penguatkuasa kempen pilihan raya dan parti-parti politik bagi melicinkan perjalanan sepanjang proses Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.

Kesemua program taklimat yang dilaksanakan serentak di seluruh negara dijangka dapat diselesaikan pada 31 Jun ini.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar, berkata taklimat kepada petugas di pusat mengundi pula melibatkan perkara seperti penggunaan dakwat kekal, urusan pengundian awal, anggota media bertugas luar kawasan boleh memohon mengundi pos dan aspek pengurusan hari penamaan calon apabila proses bantahan sudah dimansuhkan daripada undang-undang.

“Dalam persiapan pilihan raya, di sebalik bajet, logistik dan peralatan..taklimat ini juga paling mustahak. Sekiranya petugas kita tidak memahami, tidak jelas dan buku panduan tidak mencukupi..akan timbul masalah.

“Sebab itu peringkat pegawai kita ulangkan (taklimat), peringkat ketua tempat mengundi, kerani pengundian kita ulangkan..Jadi lagi lama pilihan raya dilewatkan bagi SPR lagi baik kita buat persiapan, kita ulangkan kita pastikan apa yang belum puas hati kita buat sekali lagi, kita tiada masalah. Sebab SPR bukan baru merancang, kita merancang (persiapan) sudah lama..Kita akan tengoklah (masa sebenar pilihan raya),” katanya di sidang media sempena taklimat PRU13, di Hotel Primula, Kuala Terengganu, semalam (5 Jun).

Turut hadir, Pengarah SPR negeri, Haji Fakhrul Razi Ab Wahab.

Datuk Wira Wan Ahmad berkata, sekiranya tarikh sebenar PRU13 tidak berlaku dalam masa terdekat atau pada tahun ini, SPR dijangka mengulangi perjumpaan dengan petugas PRU13, bagaimanapun perjumpaan itu tidak akan dilaksanakan pada Ramadan dan Syawal, sebaliknya hanya menumpukan kepada persiapan dalaman antara Ibu Pejabat SPR dengan negeri.

Beliau yang menjangkakan aktiviti PRU13 lebih rancak dan `panas’ dapat dikendalikan dengan lancar dan sempurna oleh kesemua petugas mereka, selain mereka dapat memahami tanggungjawab serta peranan masing-masing supaya pilihan raya berjalan lancar.

Untuk rekod, seramai 611,583 pengundi berdaftar di seluruh Terengganu dengan pertambahan pengundi baru selepas PRU12 sehingga kini kira-kira 100,000 pengundi di mana 35 peratus daripadanya merupakan pengundi muda.

Sementara, seramai 12,912,590 juta pengundi berdaftar di seluruh negara.

Terengganu yang mempunyai lapan bahagian pilihan raya bagi Parlimen dan 32 bahagian Dewan Undangan Negeri (DUN) membuka 355 pusat mengundi yang melibatkan 1,212 saluran pusat mengundi.

Daripada 16.5 juta warganegara Malaysia yang berusia 21 tahun ke atas dan layak mengundi, seramai 3.65 juta daripada mereka belum mendaftar sebagai pengundi.