Halaman

04 June 2012

SPR tubuh pasukan penguatkuasa kempen PRU13

Oleh: Aida Abd Rahman

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia sedang mengenal pasti ahli untuk menganggotai pasukan penguatkuasa kempen pilihan raya di setiap Parlimen di Terengganu bagi memantau dan melancarkan aktiviti berkempen sepanjang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Timbalan Pengerusi SPRM, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar, berkata pasukan itu akan disertai empat ahli yang terdiri daripada ketua pasukan penguatkuasa, pegawai Pihak Berkuasa Tempatan, pegawai polis sekurang-kurangnya yang berpangkat Inspektor dan wakil calon yang bertanding.

“Tidak ramai ahli dalam pasukan penguatkuasa berkenaan, bagaimanapun tugas dan jaringan amat luas dengan menggunakan balai polis seluruh negara..seluruh negeri. Kalau perlu buat rondaan mereka pergilah.. Kalau dapat aduan, ketua balai (polis) berdekatan akan semak aduan, kalau perlu ambil tindakan mereka akan pergilah.

“Ada negeri membuat pasukan mengikut Parlimen dan ada mengikut DUN (Dewan Undangan Negeri). Tetapi Terengganu buat masa kini, Pengarah (SPR negeri) bincang dengan pengurus pilihan raya (RO) untuk mengikut Parlimen sahaja,” katanya di sidang media sempena taklimat Pilihan Raya Umum ke-13 kepada pegawai pengurus dan penolong pegawai pengurus serta pasukan penguatkuasa kempen pilihan raya dan parti-parti politik, di Hotel Primula, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Pengarah SPR negeri, Haji Fakhrul Razi Ab Wahab.

Datuk Wira Wan Ahmad berkata, pasukan ini akan dilengkapi dengan kenderaan pacuan empat roda selain peralatan seperti kamera, tali dan gunting yang mungkin digunakan bagi tujuan menurunkan bendera atau sepanduk yang didapati melanggar undang-undang sepanjang berkempen.

Pada masa yang sama, SPR juga kini berdepan dengan masalah kekurangan pegawai polis bagi ditugaskan dalam pasukan itu berikutan PRU yang berjalan serentak seluruh negeri memerlukan khidmat ramai pegawai keselamatan itu.

“Kita sudah menubuhkan pasukan penguatkuasa berkenaan bagi negeri Pahang, Selangor, Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan hari ini kita mengenal pasti pasukan bagi negeri Terengganu untuk memantau aktiviti berkempen sepanjang PRU13 ini,” katanya.

Sehubungan itu juga, SPRM tidak mengambil kira waktu PRU13 kerana terserah dan bergantung kepada tarikh Parlimen dibubarkan.

Bagi SPR, katanya apabila Parlimen dibubarkan, pihaknya mempunyai tarikh 60 hari bagi menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian yang tertakluk kepada undang-undang wajib membuat persiapan untuk menjalankan pilihan raya.

“Jadi tentang bila Parlimen dibubarkan terserahkan kepada Perdana Menteri. Apabila Parlimen dibubarkan SPR tidak boleh kata tidak bersedia. SPR mesti bersedia, jadi begitulah keadaannya,” katanya.