Halaman

06 June 2012

Siti Nazira layak terima RM10,000

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said menunjukkan logo Tahun Melawat Terengganu 2013 hasil ciptaan seorang pelajar UiTM.


Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kerajaan negeri bersetuju memilih pelajar Art & Design Universiti Teknologi Mara (UiTM), Siti Nazira Abdul Rahman, 23 sebagai pemenang Pertandingan mencipta logo Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013.

Kemenangan itu melayakkan Siti Nazira dari Kampung Pauh, Kuala Berang menerima wang tunai berjumlah RM10,000 dan empat lagi peserta turut memperoleh wang saguhati masing-masing berjumlah RM1,000.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pertandingan yang terbuka kepada pelajar UiTM itu bertemakan `Aspirasi Darul Iman — Satu Idea Seribu Harapan'.

Katanya, pihaknya menerima sebanyak 130 penyertaan dan mereka yang berjaya dipilih sebagai pemenang selepas mendapat persetujuan juri profesional dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

“Logo ciptaan Siti Nazira sememangnya menampilkan pelbagai keunikan Terengganu di mana mempunyai gambaran berkaitan penyu, kejohanan perayu layar, songket, tembaga dan pulau.

“Kita akan gunakan logo itu bagi mempergiatkan lagi mempromosi TMT 2013 yang kini sedang rancak dijalankan,” katanya.

Beliau berkata demkian selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, di Wisma Darul Iman, hari ini.