Halaman

10 June 2012

Peruntukan RM3.5j perkasa peranan guru Kafa

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan Pusat memperuntukkan RM3.5 juta untuk menyediakan kursus, peralatan mengajar serta buku rujukan bagi meningkatkan kemudahan dan memperkasakan peranan guru dan penyelia Kafa (Kelas al-Quran dan Fardu Ain) di seluruh negara pada tahun ini.



Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Baharom, berkata peruntukan disalurkan kepada kerajaan negeri menerusi jabatan atau majlis agama islam setiap negeri, manakala bagi Kelantan, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah diagihkan menerusi Pejabat Pembangunan Negeri, sementara Terengganu menerusi Yayasan Islam Terengganu.

“Kalau YAB Perdana Menteri turun menjelajah (serata negeri) bagi melaksanakan program `Jelajah Janji Di Kota’, kita (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia ) juga sejak dulu sehingga tahun ini mendengar pandangan, rayuan dan permohonan di kalangan pihak pengurusan Kafa dan guru Kafa di antaranya mengenai buku rekod mengajar, pendedahan kaedah untuk mengajar, latihan dan sebagainya termasuk bantuan peralatan mengajar.

“Kita duduk berbincang dengan Jakim. Alhamdulillah, kita dapat merumuskan pendekatan bantuan untuk lebih memberikan keberkesanan dan pendedahan kaedah mengajar kepada guru Kafa di seluruh Malaysia,” katanya di sidang media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Kerajaan Persekutuan kepada Kelas-Kelas Kafa Seluruh Malaysia, di Hotel Permai Inn, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Haji Khazan Che Mat dan Timbalan Ketua Pengarah Dasar Jakim, Encik Mohd Nordin Ibrahim.



Di majlis itu, Kelantan menerima peruntukan tertinggi berjumlah RM448,497 diikuti Perak berjumlah RM376,215; Sabah(RM352,688) ; Terengganu (RM31,536); Kedah (RM302,144) dan Pahang RM292,888.

Dato’ Seri Jamil berkata, bantuan menyediakan buku rujukan itu sebagai instrumen pengajaran dan pembelajaran bagi memastikan mereka tidak lagi mengeluarkan belanja sendiri bagi mendapatkan buku yang bersesuaian , malah buku rujukan itu dapat digunakan oleh setiap guru yang baru mengajar.

Selain itu, menurut beliau juga menerusi peruntukan itu dapat menyediakan kursus berkaitan yang dapat memberi pendedahan dan peluang kepada semua guru Kafa untuk mendapatkan kaedah mengajar yang lebih berkesan dan sistematik.

“Di Terengganu, sudah ada pendekatan pendidikan yang diharmonikan secara bersama dengan Kementerian Pendidikan dan Institut Perguruan di mana mereka membantu untuk mengajar kaedah mengajar dan sistem Iqra’ yang lebih sistematik, bagaimana kaedah mengajar.

“Jika dulu ustaz hanya ambil buku dan pergi mengajar sebagaimana terkandung dalam buku, tetapi teknik yang lebih berkesan tidak dapat disampaikan, maka melalui peruntukan dan juga usaha-usaha awal yang sudah dibuat, ia akan diperkukuhkan lagi dengan peruntukan yang kita berikan untuk melaksanakan kaedah mengajar,” katanya.

Katanya, kerajaan mahu memastikan semua guru Kafa mempraktikan kaedah pembelajaran dan pengajaran al-Quran berasaskan kemahiran yang lebih khusus daripada pelbagai kaedah dalam pasaran yang bercampur-aduk seperti al-Barqy dan al-Baghdadi.

Beliau berkata, kaedah Iqra’ yang dipraktikkan di Terengganu dilihat amat berkesan apabila anak-anak di Terengganu yang masih di pra persekolahan dan belum memasuki peringkat sekolah rendah sudah mampu menjadi pelapis pelajar yang boleh membaca al-Quran.

“Sebab itu di peringkat negeri (Terengganu) dijalankan majlis khatam al-Quran secara besar-besaran. Ini memperlihatkan kejayaan. Saya meminta supaya Jakim untuk melihat perkara ini secara teliti dan mendalam sebab saya yakin kalau peringkat asas (tabika) ini dapat diselesaikan membaca al-Quran, jadi ia akan memudahkan untuk pendekatan yang lain selepas daripada itu.

“Sebabnya, kalau pada masa yang sama mahu belajar membaca al-Quran Tahun Satu hingga Tahun Enam petang pelajar akan tertumpu di situ, kelas Kafa pula akan terencat dan kalau peringkat awal sudah boleh baca (al-Quran), dia masuk kelas Kafa amat membantu, bahkan menjadi satu teras kejayaan dalam pendidikan Kafa,” katanya.