Halaman

17 June 2012

Negeri Berkebajikan : PAS perlu belajar dari Kerajaan BN

Oleh FAUZI MOHD


Dato’ Seri Ahmad Said mencabar pemimpin Pas supaya membuktikan bahawa UMNO dan kerajaan Barisan Nasional (BN) negeri ini tiada usaha melaksanakan program kebajikan kepada rakyat selama ini.

Menteri Besar mengingatkan pemimpin pembangkang supaya tidak meremehkan usaha kerajaan yang terbukti telah banyak berjasa kepada rakyat.

Sebaliknya sindir beliau, slogan ‘Negeri Berkebajikan’ yang hangat dijaja pemimpin Pas ketika ini bukan idea baru berikutan usaha itu sudah lama dilaksanakan kerajaan BN kepada rakyat.

“Tidakan pemimpin Pas yang mahu ‘ajar’ kerajaan BN mengenai kebajikan saya anggap sesuatu yang melucukan, sebaliknya parti itu perlu belajar daripada kita (Kerajaan BN) bagaimana mahu menjaga kebajikan rakyat.

“Mereka (pemimpin Pas) perlu jujur kepada rakyat dan penyokong mereka sendiri. Mereka sudah terkebelakang kerana baru sekarang mahu fikir soal kebajkan rakyat sudah lama BN perjuangkan, “ katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perjumpaan Menteri Besar bersama ibu bapa, guru dan murid UPSR 2012 Daerah Kuala Terengganu zon selatan di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB. Ahmad Razif Abd. Rahman.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri bagaimanapun berkata, hakikatnya Pas adalah parti yang tiada pendirian kukuh dan hipokrit kerana selalu mencari salah UMNO serta BN demi meraih sokongan rakyat.

Dato’ Seri Ahmad yakin dasar parti itu yang berubah daripada negara memperjuangkan Islam kepada negara berkebajikan ternyata tidak mampu memperdayakan rakyat kerana kerajaan BN telah lama melaksanakan perkara itu.

Sebagai bukti jelas beliau, kerajaan sentiasa memberi tumpuan terhadap pelbagai bidang terutama pendidikan untuk dinikmati seluruh rakyat tanpa mengira fahaman politik.

"Kita sentiasa menjaga kebajikan rakyat dalam bidang pendidikan seperti memberi mereka biasiswa serta pinjaman pelajaran,” katanya.

Beliau mengulas reaksi pihak pembangkang terutama pemimpin Pas yang mempertikaikan ketelusan BN dalam menjaga kebajikan rakyat, malah ada yang mendakwa projek kebajikan dilaksanakan BN tidak menepati kehendak Islam.