Halaman

19 June 2012

Mohd Hariff terkilan tidak tersenarai ke Olimpik

Oleh: Aida Abd Rahman
Biarpun senarai pelumba untuk ke Olimpik London bulan depan sudah dimuktamadkan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), pelumba lebuh raya Mohd Harrif Salleh terkilan dengankeputusan yang tidak memihak kepadanya untuk bersaing di temasya dunia itu.

Pelumba Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG) berasal dari Kampung Ladang, Kuala Terengganu yang mana sebelum ini, namanya diuar-uarkan bersama Adeq Husainie Othman berpotensi ke Olimpik, mempertikaikan keputusan badan induk itu yang memilih Amir Mustafa Rusli untuk menggalas tugas berkenaan.

Mohd Hariff berkata, PKBM tidak menepati janji apabila pernah menjanjikan satu slot untuk diisi selepas kejayaan menunjukkan aksi cemerlang pada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL), kejohanan lumba basikal Grand Prix Kebangsaan dan Jelajah Malaysia yang berlangsung baru-baru ini.

Pelumba itu juga hairan berikutan PKBM memilih Amir Mustafa meskipun pelumba itu kurang menyerlah pada ketiga-tiga kejohanan itu sebelum ini.

Ketika beraksi pada LTdL baru-baru ini, Mohd Hariff berjaya menunjukkan prestasi cemerlang apabila berjaya menjejakkan kaki ke podium dua dan tiga sepanjang kejohanan.

Selain itu, Mohd Hariff turut mempersoalkan tindakan PKBM yang seolah-olah menganaktirikan pelumba pasukan tempatan apabila memilih Amir Mustafa (Drapac Professional Cycling) yang berpangkalan di Australia.

"PKBM sepatutnya memberi keutamaan kepada pelumba daripada pasukan tempatan seperti TSG yang tidak kurang hebatnya," katanya.

Pada Jumaat lepas, Jawatankuasa Pemilihan PKBM membuat keputusan memilih Amir Mustafa bagi menemani Adiq Hussainie untuk menggalas cabaran negara ke Sukan Olimpik London berdasarkan prestasi dan kelebihan yang terdapat pada kedua- dua pelumba itu.

Menurut PKBM, keputusan itu dibuat berdasarkan pengalaman kedua-dua pelumba tersebut beraksi di Eropah sebelum ini kerana corak perlumbaan sejauh 250 kilometer di London nanti memerlukan pelumba yang mempunyai kelebihan dari segi teknikal dan berupaya menghadapi pendakian yang sukar.