Halaman

13 June 2012

Kompleks Biopenapisan RM170 juta di Taman Biopolimer, Kertih

Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra




Projek pembangunan Kompleks Biopenapisan di Taman Biopolimer, Kertih jelas membuktikan keyakinan pelabur terhadap keupayaan Terengganu sebagai destinasi pelaburan unggul, dinamik dan kompetitif sekaligus mampu bersaing di peringkat global.

Taman Biopolimer kini berjaya menarik kedatangan pelabur seperti Hi-Essence Cable Sdn Bhd, MIE Copper Sdn Bhd dan CJ Arkema, masing-masing dengan pelaburan berjumlah melebihi RM2 bilion.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, apa yang membanggakan, terdapat beberapa syarikat lagi, termasuk dari Eropah dan Amerika Syarikat turut menyatakan minat untuk melabur di lokasi sama.

Katanya, perkembangan positif itu mampu menjadikan Taman Biopolimer sebagai hab industri bioteknologi di peringkat antarabangsa serta menaikkan imej Terengganu di mata dunia.

“Terengganu kini semakin dikenali sebagai sebuah negeri yang bijak menarik minat kedatangan pelabur ternama di dalam industry produk bio.

“Justeru itu, penubuhan komplek s ini adalah ideal bagi menarik kemasukan lebih banyak teknologi produk bio ke negeri ini, secara tidak langsung mampu memberi manfaat dan menjana pendapatan kepada penduduk tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meyaksikan Majlis Menandatangani Dokumen Perjanjian Pembangunan Kompleks Bioenapisan di Wisma Darul Iman, hari ini.

Majlis menandatangani dokumen perjanjian berkaitan itu disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah yang mewakili kerajaan Terengganu manakala BiotechCorp telah diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Dr Mohd Nazlee Kamal dan ECERDC diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Jebasingam Issace John.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw dan beberapa Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri

Pembinaan Kompleks Biopenapisan dijangka bermula Ogos nanti dan akan beroperasi mulai awal 2014 itu membabitkan anggaran kos kira-kira RM170 juta.

Penubuhan kompleks yang diuruskan ECERDC merupakan satu mercu kejayaan membanggakan kerana dijangka mampu menjana peroleh sebanyak RM1 trilion dan mewujudkan 800,000 peluang pekerjaan di seluruh dunia menjelang 2013.

Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu, dengan jangkaan Pelaburan Langsung Asing (FDI) berjumlah RM6.8 bilion, kompleks yang terletak di kawasan seluas 1,000 hektar di taman itu dijangka akan diduduki oleh lapan penggiat industry bioteknologi perindustrian menjelang 2015.

“Bagi memastikan kelancara projek hiliran, sejumlah 30,000 hektar tanah telah disediakan untuk pembangunan ladang bahan mentah yang akan menghasilkan 1.5 juta tan metrik cip kayu setiap tahun daripada pokok petai belalang atau nama saintifiknya acacia mangium,” katanya.