Halaman

05 June 2012

Klinik pemulihan untuk penagih di setiap daerah

Oleh; Esah Abdullah

Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Terengganu bercadang untuk membuka Klinik Pemulihan dan Prihatin 1Malaysia di semua daerah di negeri ini.

Pengarahnya, Encik Abdul Mutalib Abdullah berkata, klinik ini menyediakan khidmat pemulihan dan nasihat kepada individu yang terjebak dengan najis dadah serta ingin kembali ke pangkal jalan.

“Setakat ini tiga daerah iaitu Hulu Terengganu, Besut dan Dungun telah memiliki klinik berkenaan dan ia mendapat sambutan daripada masyarakat,” katanya.

Katanya, AADK sedang mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk dijadikan klinik pemulihan yang dijangka membuat keputusan dalam masa terdekat ini.

Tambahnya, pihak AADK menempatkan beberapa pembimbing termasuk bekas penagih yang bekerja secara sukarela membantu rakan-rakan mereka untuk memberi kesedaran melalui pengalaman masing-masing.

Menurutnya, tiada paksaan kepada mana-mana pihak teruama penagih menjalani pemulihan di pusat yang disediakan itu sebaliknya terserah kepada individu untuk berubah.

“Kita juga ada menyediakan bilik penginapan kepada pelatih terutama mereka yang tidak ada tempat tinggal atau yang telah dibuang keluarga untuk tinggal sementara menerima rawatan,” katanya.

Beliau berkata, ada ibu bapa datang ke pusat untuk menyerahkan anak mereka dan tindakan sebegini amat dipuji kerana usaha menyelamatkan golongan muda dari terus terjebak menjadi mudah bila dapat kerjasama daripada penjaga masing-masing.