Halaman

11 June 2012

Jakim tekankan pendidikan Islam, tambah sekolah dan guru Kafa

Oleh: Aida Abd Rahman

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sentiasa memberi penekanan terhadap pendidikan Islam khususnya program Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) apabila berupaya meningkatkan bilangan sekolah Kafa dan tenaga pengajarnya di seluruh Malaysia.

Sehubungan itu, pada tahun ini, terdapat 5,572 sekolah yang didaftarkan di bawah penyelarasan Jakim dengan 31,810 guru di seluruh negara.

Ketua Pengarah Jakim, Dato’ Othman Mustapha, berkata Jakim juga melihat program Kafa turut memerlukan penambahbaikan dengan meningkatkan lagi mutu pengajaran, prasarana sekolah dan meningkatkan elaun guru di seluruh Malaysia.

“Usaha yang dilakukan ini selaras dengan Dasar Pendidikan Negara untuk memartabatkan lagi pendidikan Islam di negara kita.

“Malah, apabila YAB perdana Menteri memutusan bahawa Ujian Penilaian Kafa (UPKK) menjadi sijil teras untuk kemasukan pelajar ke Sekolah Menengah Agama negeri-Negeri, Persekutuan, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, ini jelas menunjukkan kepentingan dan kejayaan Program Kafa yang dilaksanakan sejak dulu hingga kini,” katanya dalam teks ucapan alu-aluan sempena Kursus Pengajaran Iqra’ dan Majlis Penyerahana bantuan Kerajaan Persekutuan Kepada Kelas-Kelas Kafa Seluruh Malaysia, di Hotel Permai, Kuala Terengganu, semalam (10 Jun).

Beliau diwakili Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jakim, Mohd Nordin Ibrahim. Turut hadir merasmikan majlis, Menteri di Jabatan Perdama Menteri, Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Baharom.

Katanya, sejak Kafa dilaksanakan, peningkatan murid-murid terhadap pembacaan al-Quran dan mengetahui mengenai perkara berkaitan Fardu Ain semakin bertambah dari masa ke semasa.

Menurutnya, Kafa juga berjaya melahirkan kanak-kanak yang memiliki sahsiah diri yang mantap, berdaya tahan dan berkeupayaan menghadapi cabaran di zaman ini.