Halaman

07 June 2012

Derita tiga sekeluarga dapat perhatian MB

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra




Kisah derita tiga sekeluarga dari Kampung Panji, Wakaf Mempelam yang menghidap penyakit kronik sampai ke pengetahuan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Lantas beliau bersama Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr A Rahman Mokhtar dan Pegawai pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf mempelam, Haji Wan Mahyuddin Wan Ngah bergegas ke kediaman pesakit itu, semalam (6 Jun).

Dalam kunjungan itu, Menteri Besar berjanji untuk meringankan bebanan yang ditanggung tiga sekeluarga berkenaan, Zainab Mohd, 68, menantunya, Mohd Nor Abu Bakar, 43, dan cucunya, Abdul Hafifi Abd Rahman, 21.

“Kita akan melihat keperluan keluarga ini bagi memberi bentuk bantuan yang sewajarnya kepada mereka. Saya juga berharap mereka tabah berdepan dengan ujian ini,” katanya.

Zainab yang menghidap kencing manis menerima sumbangan kerusi roda dan wang tunai RM1,000, manakala Mohd Nor mengidap angin ahmar dan anaknya (buah pinggang) pula masing-masing mendapat RM500 seorang untuk pembiayaan ubat-ubatan.