Halaman

27 June 2012

Ahli JKKK Kampung Paloh,Kuala Terengganu melawat Masjid Ulul Albab



Oleh: Mohammad Ishak 

Serombongan 40 ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Paloh, Kuala Terengganu, melakukan lawatan ke Masjid Ulul Albab, Seberang Jertih dalam usaha memberi pengetahuan kepada ahli mengenai pembinaan masjid paling unik di negara ini.

Rombongan diketuai Pengerusi JKKK itu, Ab Rahim Rani, memilih masjid berkenaan sebagai pilihan utama dalam rangka lawatan sehari ke daerah Besut. Ab Rahim berkata, pihaknya memilih Masjid Ulul Albab kerana ia mempunyai nilai binaan dan kreativiti tinggi dalam tamadun baru Islam selain reka bentuk yang menarik.

Katanya, pihaknya memilih lawatan dalam negeri sendiri dengan memberi peluang lebih ramai penyertaan golongan wanita supaya mereka tahu apa yang ada di negeri ini. Masjid Ulul Albab berharga RM12 juta dan mampu memuatkan 800 jemaah dalam satu masa dirasmikan pembukaannya oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu,Sultan Mizan Zainal Abidin pada 24 Februari lalu.

Pengerusi JKKK Seberang Jertih, Abdul Rani Mat Amin, menyampaikan taklimat mengenai pembangunan masjid itu kepada peserta sebelum mereka meninjau sekitar masjid terbabit.

Ab Rahim berkata, selepas melawat masjid itu rombongan turut melakukan lawatan ke Desa Ukiran Kayu (DUK) di Kampung Raja, bagi melihat kerja-kerja mengukir tradisional oleh pelatih di pusat itu.

“Daerah Besut menjadi pilihan kerana ia mempunyai seni bina dan ukiran tradisional yang tersohor dan patut diketahui oleh rakyat negara ini,” katanya.