Halaman

29 May 2012

Risda lancar ops kutip biji getah.

Oleh; Esah Abdullah

Risda menyarankan pekebun kecil yang ingin membuat permohonan bagi tanaman semula getah tidak perlu lagi datang ke pejabat untuk mengisi borang sebaliknya boleh berbuat demikian secara talian terus.

Timbalan Pengarah Risda negeri, Puan Faridah Hariyati Mohd Jusoh berkata, proses melalui talian ini juga cepat dan boleh selesai dalam tempoh 24 jam berbanding mengisi borang secara manual yang mengambil masa 14 hari daripada tarikh dipohon.

Sehubungan itu, Risda juga melancarkan Ops Kutip Biji Getah bermula Julai ini bagi memastikan bekalan benih baru untuk pekebun kecil sentiasa mencukupi.

“Tahun lepas kita berjaya mengumpul 24 tan metrik biji getah dan tahun ini kita menjangkakan dapat mengumpul dalam jumlah yang lebih banyak,” katanya pada majlis Kempen Gerakan Membaja Peringkat Risda Stesyen Tepoh di Balai Raya Kampung Kesom Che Nordin, Belara semalam.

“Di samping menoreh, mereka boleh mendapatkan duit poket dengan mengutip biji getah dan kita akan beli dengan harga RM3 sekilogram,” katanya.

Katanya, Risda akan mengumpul dan mengenalpasti biji getah yang bermutu tinggi bagi menghasilkan anak pokok yang berkualiti .

Pada majlis berkenaan seramai 31 orang peserta baru telah mendaftar untuk tanaman semula getah secara berkelompok di atas tanah keluasan 50 hektar di Kampung Kesom dan sekitarnya.