Halaman

19 May 2012

Qari Marang, qariah Besut johan tilawah Terengganu

Oleh: Nurul Aziela Saberi

Peserta dari daerah Marang, Haji Mohamad Hafas Ali, 30, dan Besut, Puan Siti Mas Ismail, masing-masing muncul johan qari dan qariah Tilawah al-Quran 2012 Peringkat Negeri Terengganu yang diadakan di Padang Astaka, Kemaman, kelmarin.

Haji Mohamad mengutip markah 93.25 peratus manakala Encik Aziz Mohamad dari daerah Dungun yang memperolehi markah 89 peratus menduduki tempat kedua. Tempat ketiga dimenangi peserta dari daerah Kuala Terengganu, Encik Abu Bakar Abdul Rahman (83.5 peratus).

Manakala johan Qariah disandang peserta dari daerah Besut, Puan Siti Mas Ismail yang memperoleh markah 87 peratus dan naib johan dimenangi Puan Hajah Azizah Zakaria, dari daerah Setiu yang mendapat markah 86.76 peratus.

Peserta dari Hulu Terengganu, Puan Hajah Nasirah Ibrahim yang memperolehi markah 83.58 peratus mendapat tempat ketiga.

Johan qari dan qariah peringkat negeri Terengganu membawa pulang wang tunai sebanyak RM7,000 beserta piala pusingan manakala naib johan memperoleh wang tunai RM5,000 dan tempat ketiga wang tunai RM4,000.

Setiap pemenang turut menerima piala iringan beserta hadiah sampingan sumbangan daripada Rayhar Travel.

Pemenang qari dan qariah peringkat negeri Terengganu akan mewakili negeri ini ke peringkat kebangsaan yang diadakan di Johor Bharu pada 4 hingga 8 Jun ini
Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Haji Mohd Rozali Saleh, berkata masih terdapat banyak kelemahan di kalangan peserta dari segi penguasaan sebutan huruf, masalah pernafasan yang menyebabkan bacaan ayat suci al-Quran tidak jelas kedengaran dan kebanyakan peserta tidak boleh menguasai bacaan dari segi sebutan Arab.

Pihak juri hakim berharap semua peserta terutama Johan Qari dan Qariah yang mewakili ke peringkat kebangsaan akan menguasai kefasihan bacaan ayat suci al-quran, menguasai ilmu-ilmu hukum tajwid dan mempelajari penguasaan pernafasan ketika membaca dan penguasaan sebutan Arab.