Halaman

14 May 2012

Pulangan setimpal kepada peneroka

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra


Kerajaan mengagihkan durian runtuh kepada warga Felda sebagai insentif yang setimpal kepada peneroka yang sudah banyak menabur jasa bagi menjana sektor perladangan di negara ini.

“Hari ini kita lihat pendapatan peneroka Felda getah ataupun kelapa sawit begitu lumayan. Saya dimaklumkan peneroka Felda di sini pendapatannya lebih kurang RM2,600 sebulan seorang.

“Ini menggambarkan pendapatan mereka lumayan dan hidup selesa dengan tanah kebun, tapak rumah dan rumah hak mereka sendiri walaupun tinggal di kawasan luar bandar. Jauh lebih baik daripada mereka yang berpendapatan RM3,000 hingga RM4,000 yang tinggal di bandar,” katanya ketika sidang media selepas menyampaikan durian runtuh kepada peneroka Felda, di dewan Felda Belara, Kuala Terengganu, semalam (13 Mei).

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB Asha’ari Idris; Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Mohd Nasir Ibrahim Fikri; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, Haji Mohamad Ramli Nuh dan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Wilayah Terengganu , Haji Abd Malib Abd Rani.


Beliau berkata, pemberian durian runtuh itu akan dilakukan menerusi tiga fasa, iaitu fasa pertama berjumlah RM5,000 untuk ketua keluarga, fasa kedua sebanyak RM5,000 untuk isteri peneroka dan fasa ketiga RM5,000 kepada generasi kedua felda yang berakhir 22 Mei ini.

Katanya, pada peringkat pertama pengagihan , sejumlah kira-kira RM4.9 juta diserahkan kepada tiga felda, iaitu Felda Belara (RM1.04 juta), Chalok (RM2.15 juta) dan Chalok Barat (RM1.7 juta).



“Ini durian runtuh. Malah, mereka tidak pernah mengimpikan mendapat RM15,000 ini. Tetapi biasalah, apabila kerajaan beri RM15,000 dia (pembangkang) kata kerajaan tiada duit. Apabila mereka memerintah pula mereka kata mahu beri RM50,000..Payahlah begini.

“Inilah yang dikatakan `saudagar janji’. Hanya berjanji sahaja..memang mudah berjanji. Saya pun boleh berjanji. Tetapi sama ada boleh buat atau tidak,” katanya.

Untuk rekod, seramai 7,469 peneroka Felda seluruh Terengganu akan menikmati durian runtuh berjumlah RM 113.4 juta sempena penyenaraian Felda Global Ventures (FGVH) di Bursa Malaysia yang diagihkan secara berperingkat-peringkat di mana pengagihan berakhir 22 Mei ini.

Sebelum ini, Kerajaan Pusat mengumumkan peruntukan berjumlah RM1.689 bilion untuk diagihkan kepada 112,635 keluarga peneroka di seluruh negara sempena penyenaraian FGVH itu.