Halaman

15 May 2012

PKT idam bangunan baru

Oleh; Esah Abdullah

Politeknik Kuala Terengganu (PKT) sedang berusaha untuk mendapatkan sebuah bangunan yang lebih sesuai untuk dijadikan kampus pusat pengajian tersebut.

Pengarahnya, Puan Radiah Che Su berkata, kampus PKT sekarang yang berada di tengah-tengah pusat bandar tidak begitu sesuai lagi dengan keadaan kawasan kampus yang terhad di samping kemudahan asas seperti meletak kenderaan yang kecil.

Malah katanya, pada masa ini selain menyewa di bangunan Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Terengganu yang terletak di Jalan Sultan Ismail, tiga kawasan lain yang berhampiran dengan kampus induk terpaksa disewa untuk menampung bilangan pelajar.

``Pada masa ini PKT mengamalkan konsep menyewa bangunan untuk dijadikan kampus dan berharap bangunan yang lebih besar dengan persekitaran yang lebih luas dan selesa diperolehi untuk menggantikan kampus yang sedia ada,’’

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen PKT kali ke 11 di Taman Tamaddun Islam (TTI) semalam yang dirasmikan oleh Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) Dato’ Haji Adzlan Mohd Dagang. Hadir sama Pengarah Pembangunan dan Penilaian Kurikulum Jabatan Pengajian Politeknik Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Dr Mohd Rashahidi Mohamood.

Di majlis itu seramai 187 graduan menerima sijil masing-masing. Daripada jumlah itu seramai 175 graduan menerima Sijil Kejuruteraan Elektrik dan 12 orang menerima Sijil Teknologi Maklumat.

Penerima sijil konvokesyen kali ini merupakan pelajar terakhir di peringkat sijil kerana mulai tahun 2013, PTK akan melahirkan graduan sulung di peringkat diploma dalam kursus yang sama.

Pelajar Sijil Kejuruteraan Elektrik, Solehuddin Al-Ayubi Mohammad menerima Anugerah Pengarah Politeknik. Selain itu beliau turut menerima Anugerah Pingat Ketua Jabatan dan Anugerah Kecemerlangan Jabatan.