Halaman

06 May 2012

Piala AFC – Terengganu ke Hong Kong tanpa tonggak utama

Oleh FAUZI MOHD

Terengganu akan turun menentang kelab Hong Kong, Kitchee FC dalam perlawanan terakhir kumpulan F Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Hong Kong 9 Mei ini tanpa penyerang berbisanya.

Penolong pengurus pasukan, Sheikh Tajudin Sheikh Yusof berkata, ini kerana ramai pemain utama Terengganu seperti penyerang sensasi Francis Forkey Doe (gambar) dan Abdul Manaf Mamat tidak turut serta kerana tercedera.

"Selain itu, Reeshafiq Alwi dan Nordin Alias juga tidak akan diturunkan kerana prestasinya tidak begitu memuaskan," katanya ketika dihubungi selepas mesyuarat pengurusan pasukan hari ini.

Bagaimanapun, Sheikh Tajudin berkata pasukan Terengganu tidak akan terjejas walaupun tanpa pemain-pemain tersebut.

Terengganu tewas 2-0 kepada Kitchee pada perlawanan pusingan pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini pada 20 Mac lalu.

Terengganu telah melayakkan diri ke pusingan kedua piala tersebut setelah muncul naib juara kumpulan dengan sembilan mata manakala Kitchee pula juara kumpulan dengan 10 mata.

Sheikh Tajudin berkata misi Terengganu ke Hong Kong ialah untuk menang bagi membolehkan pasukan itu muncul sebagai juara kumpulan walaupun tanpa ketua jurulatih Mat Zan Mat Aris yang direhatkan dua minggu sehingga 15 Mei ini.

Selain Terengganu dan Kitchee, pasukan lain dalam kumpulan F ialah Song Lam Nghe An (Vietnam) dan Tampines Rovers (Singapura).

Beliau berkata Terengganu mempunyai jadual yang padat selepas kembali dari Hong Kong dan akan menentang pasukan Felda United di Melaka (12 Mei) dan Sarawak di Terengganu tiga hari selepas itu untuk kejohanan Liga Malaysia.