Halaman

23 May 2012

Perkaya cari dana untuk bina pusat tahfiz

Oleh; Esah Abdullah

Pertubuhan Anak-anak Yatim Terengganu (Perkaya) telah mewujudkan jawatankuasa khas yang di pengerusikan oleh Naib Yang Dipertuanya, Haji Harun Hasan bagi memungut dana untuk membina Pusat Tahfiz Perkaya, di Jerangau, Dungun.

Yang Dipertua Perkaya, Dato’ Dr. Tengku Mahmud Mansor berkata, orang ramai berpeluang membuat amal jariah dengan tampil menderma apa saja (barangan atau wang) bagi penubuhan pusat tersebut.

“Kita terima apa saja sumbangan ikhlas umat Islam di negeri ini, besar atau kecil mengikut nilai barangan yang ingin didermakan,” katanya kepada pemberita di Kediaman Seri Iman, Batu Buruk.

Katanya, mereka yang mampu beli 100 keping batu bata boleh menderma nilai harga barangan itu begitu juga jika ingin menderma pasir, simen atau kayu dengan kadar kemampuan masing-masing.

Cara begini katanya, memberi peluang individu untuk membuat amal jariah mengikut kemampuan masing-masing.

Menurutnya, semua sumbangan yang diterima akan diletak di bawah jawatankuasa yang dilantik dan sumbangan derma akan ditutup bila dana sudah mencukupi.

“Perkaya akan membina blok bangunan empat tingkat yang dijangka menelan belanja RM40,000 dan akan dijadikan asrama yang boleh menampung 150 pelajar,” katanya
Menurut Dato’ Dr. Tengku Mahmud, pengambilan pertama seramai 20 pelajar ke pusat itu dijangka bermula pada awal tahun depan.

Tapak cadangan pusat tahfiz berkenaan telah di wakafkan oleh isteri Alahyarham Dato’ Haji Awang Jabar, To’ Puan Mariam Abdullah kepada Perkaya dan kawasan berkenaan telah tersedia sebuah kompleks lima bilik tamu, kolam ikan, kolam renang serta dewan yang boleh menampung 100 orang yang bernilai kira-kira RM1 juta.

Kepada mereka yang ingin menderma boleh hubungi Pejabat Perkaya di Jalan Pusara, Kuala Terengganu melalui talian 09- 6224924 atau Pengerusi Jawatankuasa Dana, Haji Harun Hasan 019-9848545.