Halaman

29 May 2012

Pemimpin Pas usah ‘keras kepala'

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Sikap pemimpin Pas yang ‘keras kepala’ dan menolak mentah-mentah sebarang usaha, termasuk pelawaan tokoh agama untuk menjadi orang tengah bagi menyatupadukan orang Melayu dan umat Islam, amat dikesali.

Selaras dengan saranan agama agar umat Islam sentiasa bersatu demi kebaikan ummah serta saling berbaik sangka sesama mereka, para pemimpin Pas sepatutnya siap sedia mengadakan muzakarah dengan Umno bagi kebaikan bersama.

Akhbar hari ini melaporkan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria sedia menjadi orang tengah demi memastikan muzakarah Umno dengan Pas untuk perpaduan Melayu dan Islam menjadi kenyataan.

Kesediaan Mufti Perak menjadi orang tengah dalam isu tersebut sepatutnya diterima pemimpin Pas dengan tangan terbuka, jika mereka benar-benar ikhlas memperjuangkan Islam di negara ini.

Pemimpin Pas, termasuk Mursyidul Amnya, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, tidak perlu mengelak lagi daripada menerima pelawaan Tan Sri Harussani bagi merealisasikan hasrat tersebut yang tentunya amat ditunggu-tunggu oleh seluruh umat Islam di negara ini.

Mereka tidak wajar meletakkan sebarang syarat kepada Umno untuk mengadakan muzakarah itu demi kepentingan politik Pas, khususnya dalam usaha menjaga hubungan dengan DAP yang awal-awal lagi akan menolak sebarang usaha bagi menyatukan umat Islam.

Tidak siapa dapat membaca isi hati pemimpin Pas, termasuk Nik Abdul Aziz, tetapi kita takut mereka sengaja melarikan diri daripada mengadakan muzakarah itu kerana takutkan sekutu Pakatan Rakyat.

Pemimpin Pas tidak perlu bermain tarik tali dalam soal mengadakan muzakarah dengan Umno, jika mereka benar-benar ikhlas memperjuangkan agama Islam.

Sama-sama kita tunggu apa reaksi terbaru pemimpin Pas selepas Mufti Perak membuat kenyataan tersebut, atas rasa kesedaran mahu menyatukan umat Islam, tanpa mengira ideologi politik.

Rakyat negara ini, khususnya umat Islam boleh menilai apa helah pemimpin Pas selepas ini bagi mengelak daripada muzakarah tersebut diadakan selepas beberapa usaha sebelum ini gagal akibat sikap ‘keras kepala’ pemimpin Pas.