Halaman

22 May 2012

PAS lebih taat ‘kerjasama luar tabie’ DAP, PKR – Muzakarah dengan UMNO hanya drama bersiri


Oleh FAUZI MOHD

Isu muzakarah PAS dengan UMNO bukannya isu baru, sudah beberapa kali timbul dan sudah acap kali ia senyap begitu saja. Panas dipermulaan kemudian sejuk berpanjangan saling tak ubah seperti hangat-hangat tahi ayam.

Isu muzakarah sering menjadi senjata terakhir PAS apabila berdepan dengan gelombang kebangkitan umat Islam yang saban waktu semakin jelik dan meluat dengan tingkah laku PAS.

Dan kerap kali juga apabila UMNO menyahut salam perdamaian dari PAS, watak ‘berbelit-belit’ Mursyidul Am PAS, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat akan muncul dengan pelbagai syarat.

Motifnya satu, supaya isu muzakarah yang sudah disambut oleh UMNO akan padam begitu saja.

Walhal jika benar ikhlas mahu membicarakan masalah umat dan bermuzakarah mencari titik temu yang tersembunyi disebalik ketegangan, apa perlunya menetapkan pelbagai syarat?

Sepatutnya cukuplah sekadar memiliki keikhlasan hati dan fikiran.

Sedangkan semasa PAS kelihatan begitu taat mengikut kehendak DAP dan PKR sepanjang ‘kerjasama luar tabie’ mereka dalam pakatan pembangkang, tidak kedengaran satu pun syarat yang menetapkan kedua-dua rakan sekatil itu mengikut telunjuk dan kehendak PAS.

UMNO sejak dulu hingga kini sentiasa terbuka sebagaimana terbukti selepas pilihanraya umum 2008, tanpa soal jawab UMNO pernah menerima ajakan Presiden PAS yang menganjurkan kerajaan perpaduan.

Malah pimpinan UMNO tidak rasa kehilangan untuk menyerahkan jawatan MB dan beberapa EXCO di Perak dan Selangor kepada PAS sekalipun dari segi jumlah kerusi sepatutnya ia milik UMNO.

Namun apa yang terjadi kemudiannya selepas kata putus hampir dicapai?

Nik Aziz campur tangan memusing cerita dan membantah penyatuan kerjasama tersebut hinggalah akhirnya UMNO pula yang dipersalahkan konon sengaja mahu memecahkan kerjasaman PAS dengan DAP dan PKR.

Episod muzakarah terbaru yang masih hangat diperkatakan kini, tidak mustahil bakal mengulangi adegan sama atau setidak-tidaknya sekadar satu drama bersiri untuk menggertak rakan-rakan sekatil PAS dalam keluarga Pakatan Rakyat supaya memberi lebih perhatian terhadap kehadiran PAS dalam pakatan itu.

Ternampak jelas tatkala PAS melihat rakyat khususnya umat Melayu Islam semakin menyedari PAS telah hanyut dalam dakapan DAP dan PKR hingga menggadai kesucian Islam dan prinsip Islamik yang selama ini gah digembur-gemburkan, tidak semena-mena tika itulah PAS akan mencetuskan idea muzakarah dengan UMNO.

Segalanya dilakukan oleh PAS atas prioriti kepentingan politik kepartian dan bukannya semata-mata untuk kesejahteraan serta perpaduan ummah