Halaman

16 May 2012

Masyarakat Terengganu diminta cetus inovasi

Oleh: Suriati Ali

Masyarakat di Terengganu terutama mereka yang tinggal di kawasan pendalaman di minta bersama-masa mencetuskan inovasi supaya ekonomi keluarga dan gaya kehidupan harian mampu diubah kepada lebih selesa.

Mereka juga tidak boleh terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan untuk mengubah nasib keluarga kerana ia bukan saja membantutkan minda, menimbulkan sikap malas berusaha malah mampu menghalang pertumbuhan ekonomi negeri.

Timbalan Ketua Setiausaha (Sains) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Profesor Datin Paduka Dr Khatijah Mohd Yusoff, berkata menyedari hakikat Itu, pihaknya prihatin melaksanakan pelbagai program induk sebagai platform mengubah minda masyarakat.

“Antara program yang dirancang adalah Karnival Sains dan Inovasi, Jejak Inovasi; Anugerah Inovasi dan Anugerah Cipta 1Malaysia.

“Pelbagai negeri, termasuk Terengganu telah dan sedang kita selusuri semata-mata mahu memperjelaskan secara dekat kepentingan inovasi kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis merasmikan Program Inovasi@UMT 2012 di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kuala Terengganu, petang semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman; Timbalan Naib Caselor (Akademik & Antarabangsa) UMT, Profesor Dr Noor Azhar Mohamed; Ketua-ketua agensi korporat dan Ketua-ketua jabatan.

Program anjuran UMT itu menghimpunkan penyelidik-penyelidik UMT daripada pelbagai bidang kepakaran, pelajar-pelajar UMT dan 15 sekolah terpilih dari Kuala Terengganu.
Mereka yang terlibat mempamer dan mempertandingkan hasil inovasi, rekacipta dan kreativiti masing-masing pada program itu.

Profesor Datin Paduka Dr Khatijah, berkata apa yang dilaksanakan itu bertujuan meningkatkan kesedaran dan memupuk budaya sains dan inovasi di kalangan masyarakat ke arah menghasilkan kekayaan, penjanaan ilmu dan kesejahteraan rakyat.

“Pihak kami dengan kerjasama pelbagai pihak mempunyai agenda tersendiri untuk menyemarakkan lagi inovasi sedia ada dan sedang dirancang,” katanya.