Halaman

04 May 2012

Lieos bakal keluar produk sendiri

Oleh: Suriati Ali

Memulakan perniagaan seawal umur 19 tahun dan tidak memiliki sijil daripada mana-mana Institut Pengajian Tinggi (IPT) awam atau swasta bukan menjadi alasan dan halangan bagi pemilik Lieos Technolgy Sdn Bhd (Lieos), Puan Afiza Khalit, 33, untuk berjaya mengembangkan sayap perniagaannya.

Lieos yang diusahakan bersama suami tercinta, Encik Azli Abdul Aziz saban tahun menampakkan hasil apabila usahawan muda itu kini berjaya memiliki lima rangkaian perniagaan dan sebuah gudang di Chendering, Kuala Terengganu sepanjang 14 tahun beroperasi.

Cawangan Lieos yang bertempat di Jalan Kampung Dalam, Lot Kedai Mydin Mall, Bazar Mara Wakaf Tengah, Kuala Terengganu; Arkib Mara, Dungun dan Kota Bahru, Kelantan mendapat sambutan cukup menggalakkan daripada pelanggan.

Berbekalkan modal perniagaan sebanyak RM10,000 pada 1998, Puan Afiza dan suami sentiasa berazam dan berdoa supaya apa yang diusahakan itu menampakkan hasil sehingga mampu mengeluarkan produk berjenama sendiri.

Berpegang teguh kepada prinsip tidak mudah mengalah, kuatkan semangat dan usaha secara agresif, Lieos kini berjaya `menambat hati’ puluhan syarikat korporat, agensi kerajaan dan swasta supaya menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan secara tetap. .

Puan Afiza berkata, minat mendalam dalam bidang perniagaan ICT sejak di bangku sekolah membuatkan dia tidak jemu menggandakan usaha walaupun pelbagai rintangan dan dugaan dilalui.
Katanya, cawangan Lieos di Wakaf Tengah pernah diugut bakar oleh pihak tertentu dan jatuh sakit melebihi setahun akibat terkena ilmu hitam, tidak sedikit pun memantahkan semangatnya untuk terus maju dan berdaya saing.

“Demi memastikan nama Lioes dikenali ramai, pelbagai langkah dilaksanakan termasuk mengeluarkan produk sendiri berkaitan perkakasan dan peralatan komputer
“Pada masa sama berusaha menjenamakan Lieos melalui program francais di mana akan memperkenalkan kepada bakal-bakal usahawan Teknologi Maklumat (IT) atau di kalangan siswazah yang berminat,” katanya.

Bagi tujuan itu, Lieos dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) akan membuka kedai contoh di bangunan Pusat Dagangan Terengganu, Jalan Hiliran, Kuala Terengganu, dalam tempoh terdekat bagi memperkenalkan secara dekat kepada pelanggan.

Sepanjang berbakti kepada Lieos, Puan Afiza pernah menyandang beberapa anugerah, termasuk Usahawan Muda sektor perdagangan oleh Majlis Amanah Rakyat; Anugerah Belia Negara peringkat negeri (Kementerian Belia dan Sukan); Anugerah Usahawan Negeri Terengganu 2011 (YPU) dan Anugerah Kedai Patut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).