Halaman

10 May 2012

Klinik Kesihatan akan dibina di pusat peranginan Pulau Perhentian

Oleh: Mohammad Ishak 

Kerajaan akan membuka sebuah Klinik Kesihatan di pusat peranginan Pulau Perhentian bagi memberi perkhidmatan kepada penduduk di pulau itu selain untuk kemudahan pelancong.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan,Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr A Rahman Mokhtar berkata, pembinaan klinik berkenaan sedang diberi keutamaan oleh kerajaan negeri dalam usaha meningkatkan lagi tahap kesihatan penduduk.

Katanya,ketika ini pulau itu hanya mempunyai Klinik Desa yang sudah lama beroperasi manakala jumlah kakitangan pula amat terhad berbanding jumlah sebenar penduduk pulau berkenaan.

Dr A Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut berkata, ketika ini dianggarkan antara 30 hingga 40 orang penduduk datang ke klinik terbabit untuk mendapatkan rawatan.

Beliau berkata, bagi tujuan itu seluas 1,437 hektar tanah telah diluluskan pada Rancagan Malaysia Ke 7 (RMK 7) dan proses pengambilan tanah telah selesai dan sudah diberikan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia.

Kerajaan Pusat sudah menjelaskan bayaran RM420,312 kepada penduduk yang terbabit dengan pengambilan balik tanah terbabit “Saya berharap projek pembinaan klinik berharga RM25 juta itu dapat dilaksanakan segera oleh kerajaan bagi memberi perkhidmatan kesihatan lebih selesa dan terbaik kepada penduduk pulau itu,” katanya.